Nadi Kita...Hantarkan Darahku Ke Sana

Sesuatu yang membawa kebaikan dan diikuti dengan niat yang betul
akan menempuh pelbagai dugaan,
Awalnya kau akan dikecewakan,
Jika kau tabah dan cekal,
Insya-Allah... hasrat dan niat murni itu pasti termakbul jua...

Sepertimana niat suci kita
menyampaikan suara yang tidak kedengaran...
luahan yang tidak kesampaian...
Walau bilangan mereka yang memahami itu sedikit
Sudah cukup untuk kita...
dan ia tidak akan berakhir di sini...
kerana ia hanyalah satu titik permulaan...
untuk sebuah nama yang digelar...
PERJUANGAN!



Hari ini, peristiwa di Gaza mengetuk sebuah kenangan yang sentiasa terbenam dalam diri.Sebuah kenangan yang tercipta pada Malam Puisi Warisan Aswara-Ogos 2006 (Bertemakan Kemanusiaan). Masih lagi jelas diingatan, betapa berkobar-kobarnya enam jiwa dalam menjayakan sebuah lagu puisi untuk dipersembahkan ke tontonan khalayak Aswara khususnya.


Semuanya gara-gara kelas penulisan lirik dibawah tunjuk ajar Encik Zubir Ali.

Kelas penulisan lirik antara kelas yang paling aku rindui. Terutama sekali melihat gelagat Encik Zubir. Seakan tersuntik satu rasa yang amat sukar dijelaskan dalam kata-kata. Tidak bisa akan terlenyap dalam ingatan. Sepanjang sesi pembelajaran bersama Encik Zubir, terasa seolah aku berada di alam lain. Aku lebih mengenali aku. Aku lebih mengenali manusia!


Aku dapat merasakan setiap urat dalam otakku 'bekerja' dan juga 'terjaga' dari lena. Encik Zubir memaksa otakku terjaga. Setiap sesi, pasti ada kejutan. Masih jelas terbayang, pada hari itu, aku dan rakan-rakan yang lain dikejutkan dengan kehadiran sebuah lagu puisi hasil karya Roslan Long dan Hadi Hassan bertajuk 'Nadi kita...hantarkan darahku ke sana'.

Kebetulan pada ketika itu, Israel(Yahudi sialan!) mengasari penduduk dan saudara Islam di Beirut. Kali pertama menyelusuri bait-bait ayat dalam lagu itu, mengundang air mata. Kata-katanya merenjat setiap inci tubuhku. Kata-katanya bisa menggoncang jiwa.

Aku fikir, aku sahaja yang merasakan amukan jiwa. Rupa-rupanya, ada juga antara rakan-rakanku merasakan gelora yang sama. Pantas, terciptalah sebuah akal fikiran untuk menggunakan lagu puisi itu di Malam Puisi Aswara. Tujuan sebenarnya, tiada lain hanyalah untuk menyuntik kesedaran (ada antara budak-budak ASWARA leka dan taksub dengan diri sendiri sehingga lupa akan kekejaman yang melanda Beirut)

Bermulalah perjalanan sebuah perjuangan.

Kami berenam (Nurjihadah, Fatimah Sri, Haironizan, Nourisalwa, Nurul Mardhiah dan aku) mula membuat persiapan. Dari gaya persembahan sehinggalah kostum dan prop. Setiap kali bertemu, satu sahaja yang bermain dan terus menjadi niat dalam hati.


'Persembahan ini untuk rakyat Beirut, untuk saudara seIslam kita...'

Masing-masing memegang tugas yang telah ditetapkan. Aku pula memilih untuk membuat persembahan slide, khas untuk ditayangkan pada malam itu. Secara jujurnya, persembahan slide inlah, kali pertama dalam hidupku memakan masa yang amat lama. Bukan kerana tidak cukup masa tetapi, perasaan hiba yang meruntun. Bayangkan... aku terpaksa menatap kekejaman Zionis di depan mata saban saat. Mayat kanak-kanak yang bergelimpangan, orang-orang tua malah ada juga gambar si ibu yang cuba menenangkan anaknya!

Bukan manusia sekiranya tidak ada perasaan sedih pabila melihat gambar-gambar itu. Beberapa kali juga aku terpaksa berhenti, ambil masa untuk menenangkan jiwaku sendiri. Mujurlah ada rakan-rakan yang turut sama memujuk rasa hati yang gundah.

Tiba hari yang dinantikan, aku bersedia memberikan cd untuk slide dimainkan. Malangnya, cd itu tidak bersuara, yang ada cuma gambar bisu. Tinggal beberapa minit lagi untuk persembahan. Mulanya, mereka suruh batalkan sahaja penggunaan slide. Tapi, slide itu adalah nyawa kepada persembahan itu.

Kami berenam berusaha mencari jalan. Ada antara kami bertempiaran mencari laptop. Malah darah yang diperlukan sebagai props masih lagi belum disediakan. Kain yang dibeli untuk kami jadikan sebagai kain pembalut bukan dari jenis yang dirancang dari awal. Ada juga yang ukuran kainnya salah. Ya Allah, sememangnya Kau ingin menduga kesungguhan dan niat luhur kami.

Nasib memang menyebelahi kami. Abang teknikal memberi peluang untuk aku memindahkan persembahan slide itu di dalam cd baru dan dia secara sukarela ingin membantu.

Alhamdulillah, cd sudah tersedia.

Sebelum membuat persembahan, seperti biasa kata-kata perangsang amat penting. Kami peringatkan diri masing-masing tentang niat persembahan untuk malam itu dan laungan Allahu Akhbar menambahkan lagi pemberontakan terhadap Zionis dari dalam jiwa.


Persembahan dimulakan dengan bacaan puisi(lagu puisi tersebut disampaikan secara bacaan biasa dahulu sebelum dinyanyikan), setiap satu rangkap seorang. Setiap seorang membawa sebatang lilin yang sengaja tidak dinyalakan apinya. Selesai sahaja bacaan puisi, aku dan Nurul Mardhiah, keluar dengan membawa lilin yang bercahaya. Ketika ini, lagu Nadi kita berkumandang dan kami datang di antara mereka yang lain sambil menyalakan api kepada lilin mereka yang tidak bercahaya tadi.

Apabila lagu puisi menyentuh bait-bait ‘kemanusiaan yang hilang erti’…
Cahaya lilin dipadamkan dengan tapak tangan masing-masing
Diikuti dengan percikan darah yang sengaja dilumurkan pada kain putih yang menyelubungi tubuh masing-masing…

Persembahan disudahi dengan keenam-enam kami jatuh terkulai…
sebaik sahaja muzik berhenti berkumandang yang sekaligus membawa persoalan….

Masih adakah harapan untuk mereka kembali ‘bernyawa’?
Adakah Gaza juga akan terus dibedil dengan kekejaman peluru tentera Zionis yang tidak bermata?

Persembahan Slide yang mengiringi persembahan Nadi Kita...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku