Wayang... filem kita wajah kita

Filem yang bagus tak perlu publisiti
Ia akan membuktikan kehebatannya sendiri
Wayang mampu berdiri tanpa Erra, Rosyam, Fasha mahupun Siti...




Sudah lama aku kepingin menonton filem yang serupa ini. Memang kelalaian aku kerana tidak pergi ke panggung untuk menontonnya (faham-fahamlah, masa tu ekonomi aku sebagai 'pengusaha anggur' telah banyak membataskan keinginanku). Jadi, pada hari Sabtu yang lepas, aku telah singgah ke 'pusat pembekal wajib' kegemaranku vcd/dvd di Selayang. Sebaik sahaja 'uncle' kedai tu nampak kelibat aku, pasti ini yang akan terpacul dari mulutnya... 'adik, aku ada simpan banyak vcd filem baru Salman untuk adik!' Aku hanya senyum. Pandai betul 'uncle' ambil hati aku sebagai pelanggan setianya sejak sepuluh tahun yang lepas. 'Bungkus semua!' lagak orang dah berduit konon-kononya. Memang gila aku ni. Pernah satu ketika rakanku, si Fatimah menegur... 'kak Shai, kau kalau nak keluarkan duit untuk diri kau sendiri, susah sangat aku tengok. Tapi kalau tentang vcd/dvd ni, macam air je aku tengok duit kau mengalir.' Apa yang aku boleh katakan 'tabiat aku ni memang pelik sikit... susah nak ubahlah!' Memang alasan yang tak praktikal langsung. Tapi apa boleh buat? Itu memang kelemahan aku dari dulu lagi dan aku sedang cuba berusaha 'mengurangkannya'.
Kemudian, aku tergerak untuk membelek vcd filem-filem terbaru Malaysia dan juga Hollywood yang sudah ada di pasaran. Tak tahu kenapa tapi aku sememangnya keberatan nak membelek bahagian Hollywood. Tiba-tiba saja terpapar dalam skrin mata aku ni 'BOIKOT FILAM AMERIKA! BOIKOT FILEM HOLLYWOOD!' Dan pantas saja lirik mata aku menangkap vcd filem Wayang yang sedikit tersorok di antara rimbunan filem-filem Malaysia 'tersohor' yang lainnya. Aku membelek vcd tu hampir beberapa minit.

'Cerita ni bagus dik, tak rugi beli,' kata uncle memujuk aku. Perkara wajib yang dilakukan oleh setiap penjual dan peniaga vcd. Tak kiralah yang haram atau yang halal. Dua-dua pun sama. Aku cuma senyum. Aku pandang ke matanya. Tercuit di hati nak menguji sejauh mana dia tahu tentang Wayang ni, sebab kali terakhir aku datang dia juga cuba memujuk aku membeli vcd 9 September dengan menggunakan ayat yang sama. Tapi, aku lebih kuat dan tak termakan pujuk rayu uncle sebab aku tahu, sebuah filem yang baik tak perlukan publisiti melangit. Cukuplah sekadar pemberitahuan waktu tayangan.
'Apa yang menarik cerita Wayang ni uncle, bagus sangat ke ceritanya?' desakku sekadar menguji. Niat di hati memang nak membeli. Tapi, sengaja aku ingin mengusik kejujuran uncle yang dah ku kenali sepuluh tahun.
'Kalau tengok cerita ni, baru adik rasa masih ada orang bernama Melayu di Malaysia. Bukan setakat Mat Rempit dan Mat Drift je yang ada kat Malaysia ni,' jelas uncle yang berketurunan India itu. Aku melihat dia dari atas ke bawah.
Betul ke apa yang aku dengar dan apa yang aku lihat? Tak terpesong pula uncle ni dengan gerakan HINDRAF?
'Dik, susah kalau nak cakap lebih. Cerita bagus, tak payah bising-bising satu kampung... apa guna pecah panggung kalau filem tahap pecah punggung!'
Hui, semakin berani uncle ni berkata-kata, tercabar pula aku mendengarnya.
'Okey, saya beli!' kataku menghentikan kata-katanya.
'Yang tadi jadi beli?
'Mestilah!'

Benar kata-kata uncle. Tak perlu heboh sekampung nak katakan filem wayang ni bagus. Tak perlu juga dibuktikan dengan kutipan pecah panggung. Cukup sekadar penghayatan yang memang mendahagakan filem kita wajah kita.

Tahniah untuk semua barisan pelakon Wayang dan semestinya kepada saudara Hatta Azad Khan. Terlalu banyak yang ingin diperkatakan tetapi terlalu kurang perkataan yang boleh menggambarkan berapa filem Wayang ini merenjat kesedaran aku sebagai penggemar filem Melayu. Aku harap, di masa hadapan akan ada lagi filem-filem serupa ini. Sudah lama rasanya industri filem Malaysia ketandusan filem yang serupa ini. Sekali lagi tahniah Wayang! Aku bangga untuk mengatakan Wayang... filem kita wajah kita. Bukan filem kita wajah orang asing!!!! Bila lagi agaknya aku boleh menonton filem setaraf filem Wayang?

Sepanjang menonton Wayang, tangan aku turut terikut-ikut memainkan rentak canang,
teringat balik zaman aku belajar wayang kulit di ASWARA
Siapa kata Wayang kulit ni buang masa?
Maknanya memanglah orang tu tak kenal dirinya...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku