Selamat Tinggal Kekasihku...

Masalah demi masalah yang menimpa aku. Kali ini, setelah empat tahun berkasih-kasih dan menjalinkan hubungan mesra, akhirnya aku terpaksa lepaskan juga Romi Junior. Ya! Gelaran yang aku berikan kepada komputer riba kesayangan aku. Romi Junior telah banyak membantu aku. Segala-galanya ada dalamnya. Cerpen, novel, skrip, lirik lagu dan juga kisah peribadi hidupku, dikandungnya sejak empat tahun yang lalu. Kerana Romi Juniorlah, karya-karyaku seperti Peristiwa Malam, Kasih Di Hujung Nafas, Rindu Pada Matahari dan juga tugasan-tugasan ketika di ASK/ASWARA dulu mampu kusiapkan.

Kini aku harus terima kenyataan. Romi Junior sudah terlalu nazak. Tak bisa berjuang untuk hidup. Romi Junior sudah lama tenat, tapi aku tetap gagahkan jua dan lebih tepat lagi, menyeksa batinnya. LCDnya sudah tidak berfungsi lagi. Terbakar, gara-gara nak menyiapkan PeTA. Sebelum sempat menyiapkan PeTA seluruhnya, LCD meletup dan terbakar. Mungkin, kalau aku nyatakan disini, sepanjang hari ini aku tetap menggunakan khidmat Romi Junior. Ya, aku menggunakan Romi Junior dengan menggunakan monitor pc(yang besar gedabak tu) sebagai ganti. Kalau nak ketawa, ketawalah sebab, aku dah biasa dengar orang ketawakan aku. Ada juga yang cakap aku ni kedekut, kenapa tak tukar atau beli saja yang lain. Jawabnya, 'kau ada duit ke nak tolong bayarkan?'

Aku masih lagi teringat, kenangan aku bersama-sama Romi Junior. Memandangkan Romi Junior antara Notebook ACER yang terawal, tentu sekali beratnya juga... boleh tahan. Bayangkanlah, ketika sibuk di ASWARA dulu dengan tuntutan menyiapkan PeTA serta tugasan-tugasan lain, aku menjinjing Romi Junior saban hari. Aku gagahkan kaki mendaki setiap tangga di ASWARA. Al-maklum sajalah, lif di ASWARA selalu 'OUT OF ORDER'. Aku pun pernah terperangkap dalam lif sebanyak dua kali. Seronok? Tak... padan muka aku. Mungkin balasan sebab selalu sangat mengutuk ASWARA. Mungkin....

Kakiku yang boleh tahan kecilnya (berbanding saiz badan di atas) mendaki ke perpustakaan ASWARA yang amatlah unik bangunannya. Kalau dilihat dari luar macam bentuk rebana. Ya! Tangganya juga sedikit berpusing. Aku pula, dengan saiz badan yang umpama JUMBO (anak gajah) terpaksa mendaki sehingga ke tingkat paling atas. Tingkat 6. Tingkat itu sudah umpama syurgaku. Setiap kali aku datang (aku datang memang awal, paling awal pukul 7 dan paling lewat 10... ikut kelas ya!) aku pasti terus menuju ke perpustakaan. Sehinggakan Puan Jamaliah dan Puan Natrah dah cukup kenal dengan aku. Mereka berdua juga menggelar aku... penunggu! Nama yang sedap didengar. Kalau aku rajin, aku akan bantu mereka menyusun buku. Pelajar ASWARA memang 'minat' sangat baca buku. Bersepah-sepah sampai ke lantai! Adakalanya aku mengutip sampah makanan. Ya, pelajar ASWARA memang tak sempat nak berehat, itulah adakalanya mereka curi-curi makan dalam perpustakaan. Termasuklah aku.

Kembali kepada Romi Junior. Tentu pelik bukan? Kenapa aku namakannya sebagai Romi Junior? Hmmm... mungkin belum tiba masa yang sesuai untuk dikongsi bersama. Okay, bila mengenangkan semua kenangan bersama Romi Junior, aku rasa sedih dan sedikit kecewa. Kedegilan aku untuk tidak menggantikan mukanya(LCD) telah mengundang ajalnya. Kali terakhir aku dapat menyentuh papan kekuncinya, pada malam Khamis. Aku siap menyediakan artikel yang perlu diserahkan kepada bos di pejabat hari esoknya.

Memandangkan pejabat aku yang hebat kekurangan bekalan komputer, jadi aku dengan bermurah hati hendak menggunakan komputer riba sendiri dengan menggunakan talian internet broadband sendiri. Tak mahu bergaduh, berebut dengan pekerja lain untuk menggunakan 2 buah komputer yang juga sedang nazak. Malangnya, sebaik sahaja aku memetik butang 'operate' Romi Junior menjerit nyaring. Aku tutup dan menghidupkannya semula berkali-kali tetapi bak kata orang, ajalnya dah tiba. Aku relakan Romi Junior pergi.

Hari ini, umi telah membelikan aku sebuah notebook yang juga jenama ACER yang baru supaya aku terus berkarya. Sayangnya, kecanggihan si ACER baru ini langsung tidak memikat hati. Aku sentiasa bergaduh dan selalu saja menghentak kepala ke mana-mana dinding atau meja yang berhampiran. Nasib aku baik sebab kepala aku masih belum retak. Mana tidaknya, si ACER baru ini leceh dan sedikit rumit. Memang dia ringan dari Romi Junior, ringanlah juga pengisiannya. Tak sepantas Romi Junior. Terkadang, aku keluar masuk tandas, dia masih lagi memuat-turun. LEMBAP dan menyakitkan hati.

Aku bertekad... aku pasti akan menghidupkan semula Romi Junior, akan aku gantikan mukanya dengan LCD yang baru. Akan aku rawati pemain CD yang telah tercabut rodanya (tercabut semasa aku cuba nak selamatkannya). Barang yang baru memang semakin canggih, tapi hati aku tetap dengan barang yang lama, sebab kecintaan aku bukan pada kecanggihannya tetapi pada keselesaan dan keserasian kami bersama.

Romi Junior... Baiduri rindu sangat......
tunggu, kita pasti akan ditemukan kembali!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku