Otak dan Hati Berbagi 2...

Aku mengaku dan semua pun sedia maklum. Aku bukanlah cucu yang baik. Mungkin benar dan mungkin juga tidak.

Sejak akhir-akhir ni, aku asyik terkenang arwah wan. Mungkin disebabkan aku bakal menghadapi satu lagi kematian yang pasti. Atuk. Zainal B Ahmad.

Aku kenal erti sayang dan aku tahu erti kehilangan sejak aku kecil lagi. Kematian pertama yang buat duniaku berhenti seketika, bila arwah tuk(sebelah umi) Osman b Hamid meninggal dunia. Sebelum arwah tuk, arwah wan pergi terlebih dulu, Halijah. Tapi, ketika itu aku masih kecil. Aku cuma tahu, wan tidak ada, dan tiada lagi orang yang ugut untuk sunat aku berkali-kali(maklumlah, masa tu aku nakal... bila wan cakap macam tu, jadi budak baik sekejap)

Impak besar bagiku bila arwah tuk meninggalkan aku dan tika itu aku baru darjah 2. Aku masih ingat, Hari Raya Aidiladha, aku sekeluarga balik kampung. Kami balik ke rumah Pak De, di mana arwah tuk tinggal. Malam sebelum balik ke Kuala Lumpur, tuk minta aku urutkan badan dia. Tak tahulah kenapa, aku menolak. Memang aku sombong dengan dia malam tu. Sengaja menjauhkan diri.

Tak sampai beberapa bulan lepas tu, tuk sakit. Umi dengan Ayuz balik ke sana dulu. Along dan aku tinggal di KL, bersama-sama abah. Waktu tu sekolah. Tak boleh nak kacau waktu sekolah.

Aku masih ingat, hari itu... tengah hari umi buat panggilan. Kata tuk sihat, jangan risau. Aku dan Along pun, macam biasa laksanakan rutin harian dan siap sedia hendak ke kelas mengaji Al-Quran. Sedang bersiap-siap, abah kata tak payah pergi. Kita balik kampung. Aku tak faham sangat maksud abah dan diam saja. Lepas itu baru abah cakap yang tuk dah meninggal dunia.

Sedih sangat. Hinggakan aku fobia nak menangis. Sebelum umi pergi ke sana, aku dah menangis awal-awal. Jadi, lama juga aku tidak menangis kerana ketika itu aku rasakan kalau kita menangis tentu ada orang akan meninggal. Ya! Itulah aku, pemikiran bodoh dan naifku sewaktu berusia 8 tahun. Aku menyesal sebab tak tunaikan permintaan arwah tuk. Aku sering termimpi-mimpikan dia. Lama juga. Sampaikan aku sengaja mengambil seluar pendek shell warna merah kepunyaan arwah tuk. Aku pakai dan buat teman tidurku malam-malam. Aku masih simpan seluar pendek tu hari ini. Bezanya, aku dah tak boleh pakai. Saiz seluar itu mengecil dan punggungku pula semakin membesar.

Beberapa tahun berlalu, dan tentunya aku sudah meningkat dewasa. Kematian kedua yang aku hadapi ialah arwah wan. Aku tak sanggup bercerita panjang. Semuanya sudahku luahkan dalam cerpen Kasih Di Hujung Nafas. Itulah satu peristiwa benar dan pahit dalam hidupku. Tapi, tiada apa yang aku sesalkan kerana aku sempat menjaga arwah wan. Kenangan sebulan menjaga arwah wan tak akan aku lupakan kerana ketika itulah aku rasa yang aku juga mempunyai seorang nenek. Namun, satu perkara yang masih tak bisa aku singkir dari ingatan, mimpi yang bertandang ketika arwah wan terlantar sakit.

Aku mimpi, bertemu seorang tua (berserban putih dan bertasbih). Pandangan ku amat jelas tika itu. Dia menunjukkan kepadaku sejenis tumbuhan hijau, untuk ubati sakit arwah wan. Bila aku sedar, aku cerita kepada umi. Umi dan abah tanya, sama ada aku tahu nama tumbuhan itu. Aku hanya mampu gelengkan kepala. Sumpah, memang aku tak tahu. Lebih pilu hati bila arwah wan sendiri bertanya kepadaku, apakah tumbuhan hijau itu? Kenapalah aku diberikan mimpi tetapi aku bodoh untuk tafsirkan apakah mimpi itu dan apa pula nama daun itu?

Sekarang, aku sekeluarga bakal menempuhi satu lagi kematian. Memang terlalu awal untuk aku berkata begitu. Cuma, aku ingin katakan yang aku belum bersedia untuk kehilangan seorang lagi atuk.

Aku tahu, orang sekeliling fikir aku seakan tidak peduli. Tidak ambil berat. Gembira bagai tak fikirkan langsung tentang hakikat yang atuk sedang bertarung untuk hidup. Apatah lagi, aku jarang menunjuk muka, melawat atuk. Bila aku datang pula, aku duduk di satu sudut dan tidur. Tidur?

Pernah kau dengar, orang tidur mudah dikejutkan, orang yang pura-pura tidur, sukar untuk dikejutkan?
Itulah tidurku semalam. Sekadar merehatkan mata yang bekerja 2 hari tanpa henti. Itu bukan tidur kerana telinga masih dengar dengan jelas. Setiap patah perkataan. Tak ada yang tertinggal di tangkap oleh deria pendengaranku.

Sebelum bertolak balik, aku dapat tahu yang hari ini, atuk akan menjalani satu pembedahan kecil. Membuang selaput di matanya. Aku bertanya sendiri, adakah ia perlu? Memandangkan keadaan atuk yang uzur ketika ini dan menunggu masa saja.

Along kata, itu permintaan dan kehendak atuk. Kita perlu hormat. Aku perlu hormat. Ya, aku hormat keputusan atuk. Aku cuma jijik dengan diri sendiri.

Tatkala atuk berjuang di sana, aku perlu bergegas ke tempat kerja. Bukan itu saja, aku juga perlu persiapkan diri untuk memperjuangkan karyaku. Kedua-duanya pada hari ini.

Memang aku akui, aku nantikan saat ini begitu lama dan Alhamdulillah, ia bakal jadi kenyataan. Aku juga perlu terima, ini adalah musim ujian dan dugaan untukku.

Di satu tangan kejayaan dan di satu tangan lagi sesuatu yang bakal meranapkan. Kedua-duanya perlu ku hadapi. Inilah perjanjian yang telah ku persetujui dengan Dia. Allah Maha Kuasa.

Apa yang pasti, otak dan hatiku ini berbagi dua dan aku lebih memberatkan soal atuk dan alpa pada tanggungjawabku pada karya dan kerjaya ku. Sungguh aku sedang berbagi....

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku