Isnin Yang Gelap...MISTIK, ALAHAN DAN PALSU!

Bangun pagi tadi, badan rasa berat sangat. Semuanya angkara 'jiran belakang rumah' yang tak habis-habis mengganggu. Aku tak boleh nak salahkan 'dia' sebab kawasan ini, miliknya dan kaum kerabatnya. Maksud aku, sebelum kedatangan kami... dia dah ada terlebih dulu. Jadi, mahu tak mahu, kami sekeluarga perlu menghormati kehadirannya.

MISTIK
Berbalik kepada kisah yang terjadi malam semalam. Disebabkan masih lagi keletihan (sebab mengemas), jadi semuanya berpakat cuti memasak. Bila dah cuti memasak, masing-masing keluarlah ke kedai mencari makanan untuk mengisi perut. Macam biasa, Ayuz, Umi dan Abah keluar bersama-sama. Aku tinggal di rumah saja sebab kepala dah pening. Abang Zamri pula, pergi memenuhkan rutin 'bujang'nya, menonton tayangan perlawanan bola sepak.

Tinggallah aku, Along dan Miqhail. Kebetulan, Miqhail baru elok demam. Aku mengambil alih tugas Along menjaga Miqhail sebab Along nak mandi dan ambil wuduk. Aku bawa Miqhail ke bilik (yang baru), dan melayan lagu Tala al Badru nyanyian Yusuf Islam dan Hasbi Rabbi nyanyian Sami Yusuf. Tika sedang sedap melayan lagu Tala al Badru, aku dapat dengar sikit kelainan pada muziknya. Bila ku amati, ternyata itu bukan susunan muzik yang ada dalam lagu, melainkan itu adalah suara nyaring nyanyian 'jiran belakang rumah'.

Pantas aku menutup komputer riba dan melarikan Miqhail ke bilik umi. Along pelik lihat keadaan aku dan Miqhail ketika itu. Percaya atau tidak? Suhu badan Miqhail terus melonjak menyebabkan dia panas dan semakin panas. Dia menangis tak henti-henti. Ada ketikanya, dia menepis-nepis bahu kirinya seperti ada sesuatu. Aku pandang Along, Along pandang aku.

"Aku tak pernah ajar pun Miqhail buat macam tu," kataku pada Along.

Sejurus saja abah balik, dia baca sesuatu dan Alhamdulillah keadaan Miqhail kembali seperti biasa dan suhu badannya pun menurun.

Sejak masuk bulan Syawal, 'jiran' ini seringkali mengganggu kami. Malam raya, anak kepada jiranku yang duduk hanya selang 3 pintu dari rumahku telah diganggu dan mengalami histeria. Kelmarin, semasa aku sedang sibuk mengemas meja-meja dan kerusi-kerusi, 'jiran' ku mengajuk setiap perbuatanku membuatkan aku lari tak cukup tanah masuk ke dalam rumah. Malam semalam pula, Miqhail jadi mangsa.

Hari ini, abah cuba ikhtiarkan sesuatu agar 'jiran di belakang rumah' tidak terus mengganggu. Insya-Allah.

ALAHAN
Pagi tadi, sepatutnya aku bersiap-siap ke pejabat. Namun, aku tidak dapat menunaikan tanggungjawabku itu kerana aku perlu melaksanakan tugasku sebagai anak. Abah perlu menjalani pemeriksaan di hospital, jadi awal-awal lagi aku sms ketua editor mengatakan aku tak masuk ke pejabat hari ini. Aku harap dia memahami.

Mulanya, aku merancang untuk menghantar abah terlebih dulu. Sekiranya abah siap awal, aku akan masuk ke pejabat selepas waktu tengah hari. Sementara nak menunggu abah, aku membawa umi dan Miqhail ke rumah nenek di Keramat, sambil melawat atuk. Setibanya kami di sana, perasaan mula bergoyang bila melihat Mak Ngah, Pak Cu dan Shazwan sudah sedia di sana. Ada apa-apa yang terjadi pada atuk ke?

Bila masuk ke dalam rumah, nenek beritahu atuk perlu di hantar ke klinik. Atuk dah serik di hantar ke hospital Tawakal tapi tak juga sembuh. Jadi, kesemua anak-anaknya menghormati keputusan atuk.

Sedang sibuk menunggu atuk masuk ke klinik, aku dan umi menunggu di dalam kereta. Utamakan anak-beranak kandung atuk. Miqhail pula naik rimas dan mula melasak. Peliknya keliling leher dia sudah nak merah seperti gatal-gatal. Umi dan aku naik kaget. Terus umi menelefon Along suruh siap sedia ke klinik untuk merawat Miqhail pula. Bayangkanlah keadaan di ketika itu. Di ribaku Miqhail yang sedang lemah, manakala di dalam klinik pula datuk sedang menunggu rawatan dengan sabar.

Aku berada di persimpangan dilema. Miqhail yang melasak, tiba-tiba muntah padaku. Segala isi susu yang baru diminumnya sebelum itu terkeluar dari mulutnya dan membasahi baju dan tudungku. Sebaik sahaja melihat bajuku yang basah, Miqhail mula menangis. Aku kata padanya yang aku tak marah. Barulah dia senyum sedikit.

Sudahnya, setelah selesai atuk keluar dari klinik, aku membawa Miqhail ke pejabat along sekaligus menjemput Along untuk menghantar anaknya ke klinik. Bila diperiksa doktor, Miqhail sihat dan kulitnya kemerahan mungkin disebabkan alahan. Doktor sempat kongsi pengalaman mengatakan, anaknya dahulu pun pernah alami alahan sebegitu sebaik saja makan mee kuning. Mee kuning? Ya, aku yang suapkan mee goreng masakan kak Bad semuanya sebab Miqhail yang tak lepas pandang melihat aku makan.

Oleh kerana tak sampai hati, aku kunyah sampai lumat mee goreng itu lalu menyuap ke mulut Miqhail. Sekarang aku dah belajar, biarlah kita biarkan si kecil terkebil-kebil dan terkulat-kulat tengok makanan kita asalkan mereka sihat dan selamat. Wallahualam.

PALSU
Aku tak tahu nak salahkan siapa? Mungkin ada pemalsuan antara satu doktor dengan doktor yang lain. Apa juga keadaannya, aku tidak mahu tahu yang satu hari nanti ada doktor mempolitikkan kepakaran mereka dalam perubatan dan seterusnya memperjudikan nyawa manusia lainnya sepertimana yang berlaku pada atukku.

Satu pihak mengatakan A dan satu lagi mengatakan B. Jadi sebagai pesakit, kita sedang dihimpit antara kedua-dua ini dan diakhirnya nanti, nyawa pesakit melayang dan mereka ini terus berbalah antara satu dengan yang lain.

Walau apa juga keputusan tentang kesihatan Atuk, aku tidak mahu mengulangi kesalahan yang pernah berlaku pada arwah wan aku. Insya-Allah.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku