Barah dalam Perhubungan

Satu penyakit yang boleh memusnahkan satu-satu perhubungan - syak wasangka dan salah faham. Namun begitu, manusia telah diberikan peluang untuk membuat pilihan sama ada untuk berterus-terang atau bersikap serkap jarang. Apa pula kaitan antara dua perkara ini dengan perhubungan? Percayalah, ianya terlalu berkait rapat dalam perhubungan 2-hala. Terserah kepada setiap individu sama ada memberat kepada sikap positif atau pun negatif.

Hari ini aku ingin bercerita tentang salah faham, memandangkan aku pernah (dan aku pasti semua manusia juga) berada dalam situasi ini yang mana, sukar untuk mempercayai dan selalu berusaha 'menjatuhkan' kepercayaan terhadap individu lainnya. Ya, aku bercakap melalui pengalaman dan ingin kongsi serba sedikit dengan semua (yang sedia menerima sahaja). Harap boleh diperbetulkan dan memulihkan mana-mana hubungan yang sedang melalui masalah. Insya-Allah.

Setelah mengenal dunia dari sudut dan akal yang dewasa, aku dapat mengenal punca yang kebiasaannya mencederakan satu-satu perhubungan (tahap cedera okay lagi, ada juga tahap mati dibunuh... aduh!). Maklumlah, sudah 26 tahun aku hidup, sudah banyak tempat dan manusia yang aku temui. Dengan usia (yang boleh diklasifikasikan sebagai - matang!) ini jugalah, membuatkan aku terlibat dalam pelbagai hubungan mengikut perubahan fasa kehidupan, kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Setiap fasa kehidupan ini, manusia bertindakbalas mengikut akal fikir dan juga emosi. Semasa di peringkat kanak-kanak - hubungan lebih berkait dengan emosi. Akal fikir datang hanya kemudian. Kanak-kanak lebih cenderung bertindak mengikut emosi. Kalau timbul sebarang masalah, satu sahaja jalan penyelesaian; aku tak nak kawan dengan kau!

Bila sampai ke tahap remaja, emosi masih lagi memainkan peranan dan diikuti dengan akal fikir. Disebabkan itulah, kita dapat lihat remaja sering bergerak dalam kumpulan. Tidak kiralah bilangannya besar mahupun kecil. Ini kerana, mereka memerlukan sokongan untuk setiap perbuatan yang mereka lakukan. Jika ada sebarang masalah, emosi akan berperang dengan akal fikir. Terkadangnya, emosi menguasai dan akal fikir terkebelakang. Ada masanya pula emosi ditinggalkan jauh, dan akal fikir menakluki segala keputusan. Terserah kepada sejauh mana nilai sensitif yang ada pada remaja itu sendiri.

Menjelang dewasa, emosi agak perlahan, akal fikir adalah tunjang dan bercampur pula dengan ego. Ya, satu-satunya anugerah terbesar untuk manusia adalah keegoan. Rendah atau tinggi, terpulang kepada setiap individu itu untuk membentuknya. Golongan dewasa lebih gemar bergerak sendiri dan pada ketika inilah terbentuknya individualisme; aku lebih bagus sendiri/Orang lain hanya menyusahkan/Tak ada orang lain pun aku boleh hidup. Tetapi, harus difikirkan, sampai bila manusia boleh hidup sendiri? (mati memanglah sendiri, tapi kita sedang berbicara tentang HIDUP, bukan MATI!)

Berbalik kepada barah dalam hubungan, pernah tak terfikir, apa punca salah faham?

1 - cakap-cakap belakang
2 - kata-kata yang ingin diluahkan tidak kesampaian maksudnya
3 - sikap sambil lewa
4 - cenderung berfikiran negatif

Kadang-kadang, sebagai manusia kita rasa terganggu apabila mendengar kisah seseorang yang kita kenali atau memang rapat, dari mulut orang lain. Pada ketika itu, mulalah pelbagai soalan bersarang dalam otak.

'Kenapa dia tak beritahu aku?'
'Aku ada buat salahkah, sampai dia tak mahu bercerita dengan aku?'

Ini adalah simptom-simptom yang akan membenihkan pula rasa syak-wasangka.

'Oh, dia dah tak percaya akulah ni.'
'Mesti dia fikir aku ini buruk sangat sampai tak nak bercakap dengan aku.'
'Dah jumpa orang lain, lupakan akulah itu.'
'Senangnya dia percayakan orang lain, tak ada pendirian betul!'

Jadi, tak mustahil sikap syak-wasangka yang membenih ini akan melahirkan satu lagi sikap - cenderung berfikiran negatif. Apabila seseorang dah mula memilih untuk berfikiran negatif, maka dia akan mula merasakan seakan 'dunia' tidak adil dan terlalu pilih kasih dengan rasa terasing, padahal dia sendiri yang memilih untuk mengasingkan diri.

Kemudian, ia akan membarah dan memusnahkan perhubungan yang ada pada individu itu kerana, kepercayaannya pada orang lain sudah menipis. Semua orang dirasakan 'makhluk asing' dan tidak layak diberikan mandat kepercayaan. Jika seseorang sudahpun mencapai tahap ini, sangat sukar baginya untuk memulakan satu lagi perhubungan yang baru kerana serik dan berhati-hati dalam memilih kawan.

Jika difikirkan semula, semua ini boleh dielakkan. Perlu ada sikap berterus-terang dan berfikiran positif. Sekiranya ada sesuatu yang mengganggu atau tercuit dalam hati, bersemuka dan bertanyakan terus kepada individu tersebut dan jangan simpan di dalam diri sendiri. Insya-Allah, semuanya akan elok-elok saja. Berfikiran terbuka dan menerima segala teguran (yang baik-baik saja ya!) akan memulihkan diri sendiri dan memelihara setiap perhubungan yang ada. Ketepikan sikap ego kerana ianya tidak akan membawa manusia ke mana-mana melainkan menjadikan seseorang itu lebih sombong dan angkuh.

Namun begitu, ada juga jenis perhubungan yang berlandaskan sesuatu niat. Niat yang sememangnya tersembunyi dan tidak dapat dilihat.

'Aku perlukan dia sebab dia pandai'
'Aku perlu berkawan dengan dia sebab duit dia, harta dia'
atau
'Bila aku dengan dialah, orang akan kenal aku'

Kalau jenis hubungan ini, memang dah tak ada cara penyelesaian. Mungkin lebih bagus, cepat-cepat angkat kaki dari terus menyeksa diri. Tak guna terus berkawan dengan seseorang yang semata-mata ingin menggunakan diri kita. Secara peribadi, aku pun pernah melalui situasi ini (berkawan dengan aku semata-mata dia mahukan perhatian yang sama dan bila dia dah berjaya aku dijatuhkan tergolek-golek bawah tapak kakinya... aduh!) Kecewa tak tertanggung, malah kebencian yang melambung!

* Janganlah sampai tiada langsung sikap ego. Susah pula nanti, takut dipijak-pijak sehingga ke tapak kaki. Berpada-padalah mengawalnya. Kawal ego bukan ego kawal diri.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku