Otak tidur?




Sebenarnya, dari zaman belajar dulu aku mengalami masalah. Masalah tidur. Seingat aku, seawal umurku 15 tahun. Kononnya berjaga malam, membaca buku. Masalahnya, aku berjaga tapi aku pasti, otakku ketiduran. Aku dah terbiasa dengan tabiat ini. Hinggakan aku pernah tidak tidur untuk seminggu. Percaya tak?

Oleh kerana aku kekayaan waktu lapang, aku menghabiskan masa berkhayal. Khayalan itu akhirnya aku transformasikan pula menjadi ayat-ayat. Hingga terhasilnya puisi dan ada ketikanya, cerpen. Kata orang, aku mungkin mengalami insomnia. Pernah juga terniat di hati untuk mengambil ubat tidur tapi niat itu tak tercapai. Dadah tak elok untuk kesihatan!

Sekarang, aku mengalami masalah yang sama tetapi sedikit berbeza. Pernah tak sesiapa melalui situasi di mana secara tiba-tiba, ingatan melayang dan fokus minda hilang seketika? Ya, itu yang sedang aku alami sekarang. Puas aku bertanya kepada kawan-kawan. Ada antara mereka yang mengandaikan aku terlalu memaksa diri untuk bekerja dan mengerah otak tanpa membenarkan ia berehat sekejap.

Kadang-kadang, ketika sedang rancak berbual, fikiranku secara tiba-tiba menjadi kosong. Berdiri atau duduk kaku, sambil memandang ke satu arah sehinggalah ada sesuatu yang menarik aku dan kembali sedar. Tapi bukan untuk masa yang lama, beberapa saat sahaja atau dalam seminit dua.

Pengalaman yang paling dahsyat aku alami, beberapa minggu lepas. Aku memandu kereta, manakala Ayuz duduk di sebelah dan umi di bahagian belakang kereta. Sedang aku memandu, secara tiba-tiba aku hilang dan hampir sahaja untuk melanggar seorang pakcik yang ingin menyeberangi jalan. Mujur ada umi dan Ayuz yang menjerit namaku dan buatku kembali sedar. Kalau tidak, aku sendiri tak pasti apa yang akan terjadi.

Aku adukan hal dan masalah ini kepada umi dan abah. Abah kata benda ini takkan terjadi kalau aku mendapat rehat dan tidur yang cukup. Malah, umi juga menyokong abah dalam hal ini. Katanya aku terlalu memaksa diri. Kata abah dan umi, otak perlu berehat. Disebabkan itulah, manusia perlu tidur. Tambahan pula, sehari-hari aku bekerja menggunakan otak dan kerja yang memerlukan otak sebenarnya meletihkan. Bukan saja meletihkan badan, ia juga mampu menghilangkan ingatan. Mungkin benar.

Jadi, untuk mendapat kepastian yang lengkap tentang masalah yang sedang aku alami, seperti biasa aku telah membuat beberapa rujukan tentang otak tidur dan mencari maklumat menerusi laman maya. Dan aku terjumpa artikel yang hampir mirip dengan masalah yang aku alami. Sleep paralysis. Aku tak mahu bercakap banyak, jadi di sini aku sertakan sekali artikel sleep paralysis ini.

Menurut fakta yang aku baca, setiap manusia akan mengalami sleep paralysis sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat. Antara faktor-faktor yang menyebabkan keadaan ini adalah seperti jadual tidur yang tidak tetap dan perubahan cara hidup secara mendadak.

Secara jujurnya, aku sendiri tak pasti sama aku benar-benar mengalami sleep paralysis ini. Satu perkara saja yang pasti, kalau aku tak boleh tidur untuk beberapa hari, aku akan cuba untuk tidur beberapa hari berikutnya. Dan bila aku sudah tidur, tak ubah pula macam orang mati. Apa-apa yang berlaku pun aku tak akan sedar. Umi ada pesan padaku, jangan terlalu banyak fikir dan selalu-selalulah ingat Allah dan beristighfar. Insya-Allah, tiada apa-apa yang akan terjadi padaku.


Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku