Hatiku tertinggal...



Sepertimana biasa, seawal pukul 5 pagi aku dah terjaga. Setelah dua jam tidur. Buat kerja apa yang patut sebelum membersihkan diri untuk ke tempat kerja. Hari ini, tugasan di pejabat memang banyak. Sudah tiga minggu berturut-turut kerja empat hari. Jadi, perlu dilipat kali gandakan kelajuan kerja.

Pukul 7.30, aku dah siap. Tinggal masa nak berlepas dengan Romi saja. Tiba-tiba, Miqhail datang masuk bilik. Terkedek-kedek, melangkah menuju ke arahku yang ketika itu sedang duduk, melepak atas katil bujangku. Tak seperti hari lain, dia diam saja dan terus mencapai kakiku. Tanpa cakap banyak, aku dukung dia dan dudukkan dia di ribaanku.

Mulutnya tertutup rapat. Matanya memandang skrin laptop yang memang setia di hujung katil sambil mengangguk. Jari halus dan kecilnya menunjuk gambar yang terpampang.

"Nak, nak...," kata Miqhail sambil mengangguk laju.

"Nak jumpa pakngah ya? Dia sibuk...," balasku diikuti ketawa kecil.



Aku mencapai patung gajah, permainan Miqhail setiap kali dia melawat bilikku. Dia mengambilnya, dan terus leka bermain. Aku cuba bangun, dan kemas bilik sebelum keluar ke tempat kerja. Belum sempat berbuat apa-apa, Miqhail menjerit. Dia menangis dan terus berpeluk pada kakiku.

"Kenapa pula ni, sayang?" ujarku sambil membelai rambutnya.

"Nangis macam orang kena pukul," kataku lagi dan kali ini terus mendukung Miqhail.

Si kecil terus membalas pelukan sekuat-kuatnya. Jadi, terpaksalah aku mengemas katil dan bilik sambil mendukung Miqhail. Setiap kali aku cuba letak ke bawah, dia pasti menjerit dan menangis sekuat-kuatnya.

"Manja betul pulak kau hari ini, ya," luahku lantas mencium dahinya.

Miqhail menangkap leherku yang sudahpun disalut dengan tudung. Dia menarik tudung coklat putih yang kupakai.

"Oh, tak nak angah pergi kerjalah ni," kataku, baru faham.

Tak boleh jadi! Setelah berpuas hati dengan keadaan bilik, aku membawa Miqhail ke rumah bawah. Kali ini, habis basah pipi aku dek ciuman bertalu-talu Miqhail.

"Miqhail kalau dah sakit memang macam ini, susah nak berenggang. Asyik nak berdukung aje," kata umi yang sudah lama bangun.

Serba salah aku dibuatnya.

"Abah kau keluar. Berkepit ajelah jawapnya umi dengan Miqhail hari ini," kata umi lagi.



Aku duduk bersila. Miqhail tetap memeluk kuat badanku seakan tidak mahu lepas walau untuk sesaat. Aku memandang ke arah jam. Sudah pukul 7.55 pagi. Kalau lewat sikit, lambatlah aku masuk ke pejabat.

Aku bangun dan terus keluar menuju ke arah Romi, sambil mendukung Miqhail. Kubuka pintu Romi dan mendudukkan Miqhail di kerusi. Miqhail terus tersenyum. Melonjak-lonjak keriangan. Tak sampai hati pula aku nak bawa dia keluar semula.

Align Center
Aku masuk ke dalam kereta, dan membawa Miqhail pusing satu kawasan rumah. Kononnya, lepas satu pusingan itu, aku akan tinggalkan Miqhail dengan umi dan terus ke pejabat. Tapi, semasa aku memandu, Miqhail yang berdiri di sebelah mencapai tanganku. Mahu tak mahu, aku terpaksa memandu kereta dengan sebelah tangan. Erat betul pegangannya itu. Lantas dia menari sebaik saja mendengar lagu yang berkumandang. Tak tahu apa alasannya, tapi mataku berair lihat aksinya itu.

Tambah melihat mulutnya yang tertutup rapat, menahan liurnya dari terus meleleh gara-gara ulser lidah yang dialaminya. Sampai saja ke depan pagar, umi dah sedia untuk mengambil Miqhail. Tapi aku terus mematikan enjin kereta, membuatkan umi kehairanan.

"Tak sanggup Ijan tengok Miqhail macam ni," kataku dalam nada yang rendah. Tak mahu umi dengar getarnya.

"Habis tu, kau tak nak pergi kerja?" soal umi pula.

"Apa kau ini Ijan, baik pergi kerja," bentak abah pula yang sudah siap sedia untuk keluar.

"Ijan keluar lambat sikit, kesian tengok Miqhail ni., Kalau dia sakit lagi, boleh bawa klinik nanti," balasku dan terus membawa Miqhail masuk ke dalam rumah lantas laju membuka tudung.

"Suka hati kaulah," kata abah.



Hampir sejam kemudian, Miqhail tetap tidak mahu berenggang dengan aku. Kali ini, aku tidak boleh terus mengikut kehendaknya. Aku perlu ke pejabat untuk menunaikan tanggungjawab dan tugasku. Mulanya aku ingin keluar rumah, bila dia sudah terlelap. Namun, perkara itu tak juga terjadi. Mata Miqhail semakin segar.

Sudahnya, nak tak nak, aku perlu keraskan hati dengan meninggalkannya di rumah. Sebelum pergi, aku cium pipinya. Berat betul hati nak meninggalkan dia dengan umi. Tambahan pula, umi bersendirian di rumah.

"Ya Allah, kuatkan hatiku ini," kataku pada diri sendiri lantas terus meninggalkan mereka dengan hati yang berbagi-bagi.

Hari ini, di pejabat. Minda dan otakku bekerja seperti biasa tetapi hatiku jauh tertinggal di rumah. Menemani umi dan Miqhail.



* Ini baru anak buah, kalau anak sendiri macam mana? Alahai...


Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku