Memori yang tercipta....

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, ramai juga yang bertanya padaku. Kenapa sudah lama tak diisi dengan sesuatu yang baru di blog ini? Kepada yang bertanya, terima kasih kerana ambil berat. Sekurang-kurangnya, aku tahu ada juga manusia yang singgah dan membaca. Terima kasih sekali lagi.

Sebenarnya tumpuan aku sedikit beralih arah ketika ini. Insya-Allah, lain kali aku tak akan lupa untuk memberi tumpuan yang sama di blogku ini. Kalau nak diikutkan, tiada apa yang menarik. Mungkin, hari Sabtu dan Ahad lepas sahaja yang membuatkan aku leka dengan ketenangan seketika.

Hari Jumaat, aku menanggung kerinduan. Apa taknya, pari kecilku mengikut mama dan papanya balik ke kampung. Balik ke rumah lepas kerja pun, aku rasa kesunyian tanpa mendengar celoteh dan melihat gelagat nakalnya.

Jadi, hari Sabtu... lebih kurang pukul 1.30 petang abah ajak keluar. Jalan-jalan. Mungkin, abah pun sama, merindukan Miqhail. Dalam pukul 2, kami sekeluarga pun mula bergerak menuju ke Utara menggunakan lebuh raya Plus sampailah ke Taiping. Hush, dah dekat dengan kampung Miqhail tu.

"Nak jumpa Miqhail ke?" soalku, nak jumpa si pari kecilku.

"Apa pulak kau ni Izan, kita nak berjalan ke tempat lain. Biarlah Along dengan famili dia. Tak habis-habis nak menyibuk!" sampuk abah.

"Habis tu, kita nak pergi mana? " tak puas hati.

"Abah cakap nak pergi Bukit Merah Lake Town Resort la, kau tak dengar ke tadi?" soal Ayuz pula yang sedang asyik memandu.

"Nak tidur kat mana?" setahu aku, tak ada apa-apa tempahan bilik hotel dan sebagainya dibuat sebelum itu.

"Redah je, mesti ada tempat tidur," sahut abah dari belakang.

Memang inilah tabiat abah. Suka redah, tapi selalunya kami taklah merempat di mana-mana. Abah, kuat pada kata hati. Tak ada lagi aku jumpa orang macam abah. Yakin dengan kata hati dan diri sendiri.

Sebelum menuju Bukit Merah, abah nak singgah terlebih dulu ke rumah dua pupu umi, pakcik Razak (cik Ajak). Lama juga tak berjumpa keluarga cik Ajak sejak dia pindah dari Selayang. Mulanya agak sukar juga untuk mencari rumah cik Ajak, tapi selepas abah hubunginya dan diberi tunjuk arah barulah lancar perjalanan.

Tak aku sangka, cik Ajak dan isteri masih lagi sama. Layanan yang diterima terlalu baik, sehinggakan kami sekeluarga pun rasa segan. Paling mengejutkan, bagaimana cara cik Ajak menahan kami dari pergi ke Bukit Merah dan tidur sahaja di rumahnya.

Semalaman di rumah cik Ajak, tahun-tahun yang menghilang bagaikan tak terasa. Dia masih lagi mesra. Bezanya kali ini, anaknya dan kawan sepermainan ketika kecilku sudahpun berumah tangga dan tinggal jauh di Kuala Lumpur. Apa yang mampu dibuat, menatap gambarnya yang terpampang di dinding. Alhamdulillah, dapat lihat gambar pun jadilah. Terimbas juga kenangan ketika kecil dulu.

Keesokan harinya pula (Ahad), abah nak bergerak pula ke Titi Serong sebab nak berjumpa dengan ayah kepada Mak Lang (adik ipar abah). Sebelum meninggalkan pakcik Ajak sekeluarga, dia ada membawa abah keluar makan sarapan pagi, hidangan istimewa Bagan Serai di Kuala Kurau. Nasi putih dan gulai ikan sembilang. Aku dan lain tak ikut sebab sudah kekenyangan makan sarapan pagi yang disediakan. Biarlah abah mencuba, mungkin lain kali kami pun dapat merasa juga.

Lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi, kami meninggalkan Bagan Serai dan menuju ke Titi Serong. Disebabkan kali terakhir abah pergi ke tempat itu lebih kurang 23 tahun dahulu, maka tersesat-sesatlah juga dibuatnya. Untuk tidak terus sesat, berhentilah seketika dan bertanyakan orang kampung. Mujur orang yang kami jumpa itu kenal dengan Tok Nawi yang kami cari. Malah, orang kampung itu juga yang menghantar kami sehingga ke simpang rumah Tok Nawi dan disambut pula oleh anaknya, pakcik Zul.

"Kalau dah sampai kawasan sini memang tak susah nak cari, orang kampung sini semuanya kenal," ujar pakcik Zul.

Di bandar? Tak tentu lagi. Jiran sebelah rumah pun tak bertegur sapa. Masjid dan surau tak bermaya pun. Kalau berbunyi, hanya warga emas sahaja yang menjalankan tanggungjawab. Orang-orang muda? Jumpa sama sendiri tak habis-habis nak menunjuk hebat masing-masing. Tak kurang juga yang suka sengaja menekan minyak sehabis-habisnya, menayang kereta dan kekayaan yang tak seberapa.

Tak dapat diungkapkan dalam kata-kata betapa berbesar hati dan gembiranya kami apabila disambut dengan baik oleh keluarga Tok Nawi. Terharu bila melihat semua anak-anak Tok Nawi (yang tinggal berhampiran) turut datang dan sama-sama menyambut kami. Sepertimana cik Ajak, pakcik Zul juga menahan kami dari balik dan makan tengah hari di situ.

Kalau ikutkan hati, segan rasanya. Apa tidaknya? Kami sampai pukul 10.15 pagi dan bertandang sehingga tengah hari. Tetapi kalau ditolak, nampak sangat kami ini sombong sedangkan mereka sekeluarga beria-ia. Pakcik Zul yang paling sibuk, balik ke rumahnya dan mengambil ikan-ikan dalam kolamnya dan pergi pula ke kedai untuk membeli barang-barang untuk dimasak.

Sementara itu, aku pula sudah tidak sabar. Dek kerana kawasan rumah Tok Nawi dikelilingi sawah padi, teruja pula aku dibuatnya. Tambahan pula, pakcik Zul dan adiknya sedang sibuk bersiap, aku ambil kesempatan itu untuk menikmati panorama indah itu. Bukan senang nak tengok padi-padi dengan lebih dekat.

Dengan bertemankan si adik kecil Mira, aku dan Ayuz pergilah mencuci mata di batas-batas sawah. Masha-Allah. Indah sungguh ciptaan Allah. Tenang seketika. Lupa segala masalah dan kesibukan kota. Dalam aku asyik menikmati pemandangan itu, Ayuz pula tidak melepaskan peluang merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan.

Sebaik saja kembali dari sawah, makanan pun sudah siap terhidang. Rasa segan perlu ditepis jauh. Tambahan pula pabila melihat tuan rumah beria-ia menyediakan makanan yang kebetulan makanan kegemaranku --- ikan keli masak gulai. Terpaksa juga aku melanggar peraturan diri yang ketika ini sedang berada dalam penjagaan makanan --- berpantang makanan berminyak dan berlemak!

Tak cukup dengan itu, kami dihidangkan pula dengan rojak sebagai pencuci mulut. Sumpah aku katakan, inilah pertama kali aku rasa sesenak ini. Selesai makan, abah pun minta diri untuk pulang. Bukan kerana tak sanggup tunggu lama, tetapi takut sampai lewat ke rumah. Maklumlah, hari Ahad. Jalan tentu sesak.

* Dalam perjalanan menuju ke Rawang, berselisihan dengan Miqhail di lebuhraya Ladang Bikam. Aku yang ketika itu memandu jadi tak tentu arah, tapi terpaksa sabar. Rindu pasti terubat bila balik ke rumah.

* Walaupun tak dapat bercuti ke Bukit Merah, hati rasa gembira bertemu dengan saudara jauh. Mungkin keseronokan ini tidak akan dirasa kalau kami pergi juga bercuti di Bukit Merah

* Setelah seronok dengan ketenangan 2 hari itu, aku diserang batu karang. gara-gara tidak minum air secukupnya dan sengaja menahan - - - - - - -.... Hari Isnin terpaksalah aku ambil cuti. Sakit kali ini tidaklah seperti yang pernah kualami dulu sebab sempat teguk air limau sebanyak mungkin. Cuma aku tak dapat menjalankan tugas. Harap ketua editor dan pereka grafik memahami situasi aku ini.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku