Kamu Yang Bernama Magis Nan Terindah


Bekas pelajar 5 D(Dahlia) 1994
Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang

Alhamdulillah. Itu saja kalimah yang bisa terungkap. Sejak hari pertama menjejak kaki ke tahun 2010, pelbagai kenangan manis tercipta. Satu demi satu. Hari ini pula, mencatatkan diri sebagai hari yang paling gembira. Aku kira, tidak ada perkataan yang mampu menggambarkan betapa gembiranya hatiku tatkala semua yang dirancang berjalan dengan lancar sekali.

Semuanya bermula saat aku, Faizal dan Roshaidah berjumpa di Rumah Terbuka yang diadakan di rumahku raya Aidilfitri yang lepas. Ketika itu, tak ramai lagi bilangan teman-teman yang ada. Cuma aku, Ayshah, Roshaidah dan Faizal. Jadi, untuk memastikan pertemuan semula bekas pelajar SKBBS, aku mulakan usaha menjejak beberapa yang lain.



Tak aku nafi, buntu juga nak mencari yang lain. Satu saja cara yang terfikir dek kepala otak aku tika itu. Menjejak seorang demi seorang melalui laman maya. Dari satu laman sosial ke satu yang lain. Tak juga berjumpa. Ada juga terserempak mereka yang berkemungkinan, jadi aku hantar sahaja mesej dan mengharap dibalas kelak.



Agak lama juga tidak berbalas. Jadi, aku biarkan seketika usaha mencari. Tambahan pula aku sedang sibuk dengan tugasan sendiri. Lama kelamaan, aku pun lupa tentang usaha yang pernah aku jalankan sehinggalah di satu hari aku terima satu balasan mesej dari seseorang. Ariff Rasul. Sahabatku di zaman kanak-kanak. Tatkala terima balasannya itu, mahu terbalik pejabat dibuatnya. Macam terima tawaran masuk ke Akademi Fantasia pulak gamaknya.



Melalui Ariff pula, aku menjejaki seorang lagi teman, Dayana. Sebetulnya, aku pernah bersekolah sama dengannya ketika di St Mary. Entah bagaimana, boleh putus hubungan. Maka, aku cuba pula risik kawan-kawan yang lain termasuklah Rudy, Shahrul Adli, Ng Sze Te dan ramai lagi. Malangnya, nasib tak menyebelahi aku.

Tanpa membuang banyak masa (kebetulan Ayshah dan Faizal pun bakal melangsungkan perkahwinan - tamatkan zaman solo masing-masing!), aku pun merancangkan pertemuan semula yang semestinya menemukan kesemua enam insan istimewa ini. Selama sebulan, aku buat perancangan. Dalam sebulan itu jugalah macam-macam perkara yang terjadi.


Tarikh sebenar pertemuan asal adalah 2 Januari. Disebabkan tarikh itu dekat benar dengan Tahun Baru, banyaklah benda yang membuatkan rancangan itu ditunda ke 3 Januari. Namun, ada hikmahnya juga kerana kebetulan tarikh 3 Januari adalah hari lahir Roshaidah Daud. Kakak paling sulung kepada kami semua.



Bila tiba saat yang dinanti, aku mahu pastikan tidak ada kecacatan. Aku rancang untuk bermalam saja di rumah Ayshah dan alhamdulillah, Ayshah pun tak keberatan. Pada hari itu, aku jemput Dayana dan Ayshah. Memang sedikit kelibut. Apa taknya, takut tak sempat sampai tepat pada masanya.


Tiba saja di Sungai Wang, bertemu pula dengan Ariff. Wah, tak sangka masing-masing dah dewasa! Terpana seketika melihat Ariff yang sama seperti dulu tapi ada sedikit perubahan dari zaman kanak-kanak dulu! Tak sampai beberapa minit kemudian, menyusul pula Faizal dan Roshaidah. Kasihan, malam itu Faizal demam. Siap bawa bekal ubat.



Bila dah berkumpul, apa lagi? Yang demam tak macam demam, yang segan dan pemalu pun jadi sempoi dan yang takut-takut pegang MIC jadi gila mic (akulah tu). Terlalu indah saat berkumpul sama-sama sebegini. Sehingga terlupa empat jam berlalu dengan pantas. Terasa-rasa mahu saja aku hentikan masa tapi tak terdaya.

Pertama kali aku rasa begini gembira dengan kawan-kawan setelah sekian lama. Persoalannya, adakah di sini titik noktah pertemuan atau hanya satu permulaan? Satu sahaja yang aku pasti, aku akan tetap sayang dan rindukan setiap seorang dari mereka. Percayalah, kamu juga antara perkara yang bernama magis terindah untuk aku....


Dayana, Roshaidah, Ayshah, aku, Ariff & Faizal

* Ayshah dan Faizal... tahniah. Insya-Allah, masa majlis kahwin nanti aku akan pakat-pakat dengan Roshaidah, Dayana dan Ariff buat rombongan. Tapi kena gilir-gilir. Lain kali nak kahwin, tengoklah tarikh jangan sama. Kan dah susah?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku