Yang Lebih Halus Dari Debu...

Sepanjang hari di pejabat, ada sesuatu yang membengkak dalam perasaan. Mulanya aku nak buat tak tahu. Malas nak layan. Kalau aku layan, aku yang semakin sakit. Lalu aku biarkan terus. Tiba-tiba aku teringat Imaan. Aku pasti dia pernah lalui keadaan yang sama. Bezanya, dia bijak berhadapan dengan situasi ini. Bukan aku. Jadi aku cuba meminjam sedikit semangatnya. Butakan seketika mata dan jiwa.

Aku balik, waktu itu hujan lebat. Aku redah saja, membiarkan air hujan singgah di tubuh. Sejuk tak terasa kerana api di dalam sudah cukup membekalkan kehangatan. Miqhail sambut kepulanganku. Lenyap seketika api yang marak tatkala pipi dicium lembut si Miqhail. Kemudian, laju dia berlari menuju tv plasma. Terkedek-kedek abah mengejar cucu nakalnya.

"Kau dah makan, Ijan?" soal umi yang sedang memegang mangkuk makanan si Miqhail.

"Belum, tengah lapar ni," balasku sambil meletakkan beg tangan di atas tangga.

Aku berjalan deras ke dapur. Tersenyum seorang diri sebaik tengok lauk khas yang dimasak untukku oleh umi. Alhamdulillah. Ada rezeki malam ini. Lantas aku meninggalkan dapur dan berjalan menuju ruang tamu. Aku tertarik melihat sampul yang bergulungan warna coklat, diposkan atas namaku.

Belum sempat aku capai, Miqhail terlebih dulu merampasnya. Si anak kecil itu terus menghulurkan gulungan itu padaku.

"Apa ni?" soalku pada umi.

"Entahlah Ijan, kalendar 2010 agaknya," ujar umi pula.

"Siapa pula nak bagi kalendar ni?" hairan sungguh.

"Klien agaknya," sampuk abah yang leka menonton filem Laskar Pelangi.

Mungkin betul andaian abah. Aku pun rakus mengoyak sampul surat coklat yang membalut gulungan itu. Benar kata umi. Kalendar bergulungan. 2 salinan kesemuanya. Tapi andaian abah tersasar. Bukan pemberian dari klien. Aku membuka setiap bulan dan membelek setiap gambar yang menghiasi muka kalendar itu.

Aku senyum lalu mencampakkan ke atas meja. Cukuplah. Aku dah malas nak hidupkan semula api yang terpadam tadi. Rasa lapar yang menumbuk tadi pun segera menghilang.

"Senang-senang kau campak kalendar tu, kalau tak nak bagi umi," kata umi.

"Ambillah," balasku, langsung tidak mahu memandang kalendar itu.

"Kenapa ni?" soal abah pula.

Aku hanya menggeleng. Hakikatnya dah terpampang jelas di depan mata. Dulu aku hanya dengar cakap-cakap. Aku cuba tepis cakap-cakap itu. Tak mungkin cakap-cakap itu benar. Namun kehadiran gulungan itu seakan bukti sebenar kepada cakap-cakap yang selama ini dianginkan kepada aku oleh mereka-mereka yang sentiasa menjadi semangatku. Semangat meneruskan perjuangan tanpa perlu dibayar apa-apa pun.

Buatkan aku sedar dan terima kenyataan, wujudnya perkara yang lebih halus dari debu. Dan perkara itu adalah aku!

* Kalau nak berdiri sama tinggi jadilah penebeng. Masalahnya dari zaman sekolah sehinggalah sekarang, aku memang tak pandai menebeng.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku