Yang Teristimewa...


7 Januari
Selamat ulang tahun, sahabatku.
Ariff Rasul

Aku kenal dia untuk pertama kalinya, sekitar tahun 1994. Kebetulan di ketika itu, aku duduk di barisan paling depan. Terhimpit antara dia dan seorang lagi rakan sekelas. Tak ubah macam sandwich! Apa taknya, dua-dua lelaki dan aku seorang sahaja perempuan. Dan aku masih ingat lagi, bagaimana mereka membuli aku. Mujurlah duduk di barisan belakangku Roshaidah. Ada juga teman membantu bila dibuli Shahrul Adli dan juga dia.

Terus terang aku katakan, zaman sekolah rendah merupakan zaman kegemilanganku. Mungkin disebabkan satu sahaja. Dia! Kalau bukan kerana dia selalu mencabar, aku tidak akan berusaha untuk meneruskan kecemerlangan yang ada. Manakala dia pula, terus beri persaingan yang sengit. Ada masanya, dia sengaja buat aku sakit hati. Malangnya, apa juga yang dia cuba lakukan, aku tak pernah pun terasa hati.

Dalam asyik bergaduh dan sakat-menyakat, hubungan aku dengan dia bertambah rapat. Ya, dia telah kuanggap sebagai abang. Pelik? Walaupun dia lebih tua 22 hari, tapi banyak perkara yang diajarnya padaku. Mungkin itulah satu-satunya kelebihan dia sebagai anak sulung. Tak aku sangka, hubungan rapat aku dan dia pernah disalaherti oleh orang sekeliling di ketika itu. Bahananya dapat dirasakan sehingga ke hari ini. Terkadang, ada saja orang bertanyakan tentang dia kepada aku.

Namun begitu, aku juga berani kata yang dia memang punya peranan besar dalam hidupku selain rakan seperjuangan yang lain. Aku kira, kali terakhir aku bertemu dengannya di sekitar tahun 1996. Waktu itu aku di tingkatan 1. Aku dengar perkhabaran yang dia akan berpindah ke Indonesia. Sedih? Memang sedihlah juga. Apa taknya, selama hari ini aku jadikan dia sebagai pencabar dan pemangkin semangat dan tiba-tiba dia pergi begitu saja.

Aku juga masih ingat, yang aku tidak sempat bertemu dengannya untuk ucapkan selamat jalan. Dan benar juga, aku menangis masa dia pergi . Pemergiannya itu sekaligus tmemutuskan hubungan aku dan dia. Aduh. Bak kata Anang, separuh jiwaku pergi. Rasa kosong. Tiada lagi orang yang boleh aku kacau dan tiada lagi aku dengar cabaran dari seseorang yang amat rapat denganku. Aku kira, kalaulah dia dan aku tetap bersama pasti aku akan jadi lebih baik hari ini.

Sejak dari hari itu, aku tak pernah putus asa untuk menjejakinya. Tujuannya tak lain, hanya ingin bertanyakan khabar dan mahu dia selalu berada dalam lindungan Allah serta sentiasa sihat sejahtera. Ketika aku belajar di peringkat universiti, Ayshah pernah beritahu yang dia belajar di kolej yang sama. Bila aku tanya nombor telefon, dengan selamba Ayshah bagitahu aku yang...

"Aku tak tegur pun dengan dia,"

Terkejut juga aku dengar jawapan Ayshah. Namun, aku akur. Takkan aku kena paksa Ayshah bertegur sapa dengan dia semata-mata kerana aku.

Apabila menempuh zaman bekerja, dan setelah bertemu dengan kawan-kawan lama, Roshaidah dan Faizal, satu kekuatan muncul untuk menjejaki dia. Selepas sahaja selesai rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri tahun lepas, aku pun nekad mencari dia bersama beberapa teman yang lain. Alhamdulillah, aku terserempak maklumatnya di beberapa buah halaman sosial di laman maya. Aku tinggalkan pesan dengan harapan dia membalas. Aku menunggu dan terus menunggu.

Bila-bila saja aku rasa perlu, aku hantar lagi pesanan. Tidak berjawab. Aku hantar lagi. Tak pernah jemu kerana aku tahu, pemilik kepada nama itu adalah dia. Nama dia terlalu unik. Sukar ada orang kedua yang mengguna nama serupa. Beberapa bulan kemudian, setelah aku terleka seketika, akhirnya aku terima balasan darinya. Selepas itu dan sehingga ke hari ini, aku bersyukur kepada Allah kerana diberikan peluang kedua untuk bertemu sekali lagi. Sekurang-kurangnya, aku dapat berkongsi cerita sepertimana yang pernah aku lakukan 14 tahun yang lalu.

Walaupun 14 tahun sudah berlalu, tapi aku rasa hubungan dan kemesraan antara kami tak tercela dek rasa segan atau apa-apa sekalipun. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan aku rasa amat selesa. Insya-Allah, kali ini tidak akan berpisah lagi. Dia adalah salah satu hikmah terindah dalam hidupku. Aku suka dengar setiap nasihat darinya. Tak ubah mendengar nasihat seorang abang kepada adiknya. Aku akur mendengar tegurannya. Bagi aku, dia tak salah. Dia duduk di satu tahap yang aku tak bisa capai.

Hari ini adalah hari ulang tahunnya. Jadi, pada hari yang bermakna ini aku mengucapkan Selamat Hari Lahir sahabatku, Ariff Rasul. Semoga kau memperoleh ketenangan dan segala kebahagiaan yang kau inginkan. Aku juga berdoa agar kau sentiasa terpelihara dan dilindungi Allah s.w.t.

Aku juga perlu mengucapkan ucapan selamat hari lahir sebanyak 14 kali, bagi membalas 14 tahun yang hilang dahulu di mana aku tak berkesempatan berbuat demikian.

Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir.....
Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir.....
Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir.....
Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir..... Selamat Hari Lahir.....
Selamat Hari Lahir.....


Selamat Hari Lahir.....
Ariff Rasul...!

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku