Saat Jiwa Luluh... Dia Datang Menyuluh...

Pagi-pagi lagi aku dah dapat petanda kurang baik. Bukan nak berlagak macam Nujum Pak Belalang, tapi aku dapat rasa ada sesuatu yang tak kena. Puas aku berzikir, tidak mahu terpengaruh dengan provokasi. Puas juga aku cuba mengawal amarah, tetapi seperti biasa provokasi itu lebih kebal dan menelan zikir-zikir yang kubaca.

"Aku dah cakap, jangan cabar... rasakan kau!" ujarku dalam Romi yang sedia mengaum punggung Waja yang agak kurang ajar.

Sampai di pejabat, Alhamdulillah. Tak ada apa-apa yang serius. Semuanya berjalan dengan agak lancar. Kerja pun aku dapat siapkan. Dua artikel kesemuanya. Kalau hari-hari sebelumnya, waktu pagi sampai tengah hari, belum tentu 1 artikel dapat disiapkan. Mungkin 'bateri' otak telah tercas dua hari ini.

Tengah hari aku bersiap pergi ke bank. Ada urusan. Hah! Di sinilah mulanya segala kebangsatan yang menimpa diri. Aduh! Panas pipi aku dibuatnya. Panas lagi kulit punggung yang duduk di sofa.

Tiba-tiba aku rasa tak guna. Selama ini dah banyak aku menulis. Salah aku, atau salah orang-orang yang sengaja menggantung hasil aku tak bertali. Aku melangkah keluar tapi masih bisa melemparkan senyum. Biarpun tidak semanis madu, asalkan aku sudah membuat kewajipanku. Senyum itu menunjukkan sopan dan budi bahasa. Kalau aku tidak mengamalkan sikap ini, apa guna aku pertahankan ia setiap kali berdepan dengan orang-orang kerajaan yang hatinya keras, bibirnya seberat emas dan senyum dibibirnya mengalahkan permata kohinoor! Lagipun pegawai bank itu hanya melakukan tugas. Dia tak bersalah.

Aku masuk pejabat. Kebetulan ketua editor dan rakan setugas masih setia di hadapan monitor masing-masing. Bekerja keras melaksanakan tugas walaupun hakikatnya itu waktu rehat tengah hari. Rajin betul. Mana mungkin aku jumpa keadaan begini di tempat lain. Kalau tempat lain, baru jarum saat sentuh 12:59... ramai yang dah sapu punggung, cabut! Itu belum lagi orang yang kerja - - - - - - - -, pukul 12.30 dah tak nampak bayang. Hahaha...

Memandangkan jam baru pukul 01:55, aku terus menggodek laman web. Cari ruang untuk cari kerja sambilan. Menulislah, apalagi. Yang sebenar-benarnya, aku rasa malas nak menulis lagi. Tambah pula kebanyakan hasil yang aku hantar tak dapat terima sebarang tindakbalas. Nak menangis? Taklah menangis. Sebab aku selalu mengingati nasihat pensyarah-pensyarah aku dulu. Semua benda ini lumrah dalam dunia penulisan. Lainlah kalau penulis itu memang ada kabel yang kuat. Skrip ke laut pun, orang nak terbitkan. Cerita melalut pun orang tetap keluarkan. Orang berduit, semua boleh buat!

Aku rasa, semua benda ini memang tidak dapat membantu aku. Sepertimana biasa, aku pergi bertemu dengan Dia, sahabat dan segala-galanya untuk aku. Dan seperti biasa juga, aku memohon dan bercerita pada-Nya. Kalau cerita pada orang lain pun tak guna. Habis-habis pun, mereka akan kata SABAR! Sebaik sahaja selesai menghadapNya, aku kembali ke tempat dudukku. Hatiku diselimuti sedikit ketenangan. Tak sampai beberapa minit, aku terima panggilan kak Ellis.

"Romi, sihat? Apa cerita terbaru?"

Entah tak tahu kenapa, tapi panggilan dari Kak Ellis seakan menghembus kembali semangat yang hilang. Macam-macam yang kami bualkan termasuklah cerita tentang novel DC gabungan kami berdua. Khabarnya akan dikeluarkan lepas pesta buku. Hairan juga aku dibuatnya sebab aku tak dapat sebarang makluman. Aku terus mendengar. Dalam masa yang sama aku turut mengadu. Kak Ellis ketawa bila aku kata yang aku sendiri tak tahu bila tarikh sebenar pesta buku.

Bukan aku tak mahu ambil kisah, cuma banyak aku perlu fikir. Lagipun duduk di pejabat, aku fokus hanya pada ruang lingkup kerja aku di pejabat. Ada ketikanya untuk melepaskan sedikit ketegangan otak, aku merayau ke laman web. Sekadar merisik khabar teman-teman di ruang mukabuku. Selain itu, aku telah gamkan diri dengan tugas pejabat.

Aku tak kisah kalau orang nak kutuk atau nak hina, sama ada aku ini penulis yang peka atau pun pekak. Nak ketawakan aku, silakan. Kalau itu lucu bagi mereka, aku seribu kali rela diketawakan. Kalau dikutuk, aku berjuta kali sanggup. Aku selalu kata, aku ini bertuhan. Tuhan aku Allah. Aku tak akan dapat tepis setiap gelak, ketawa, hinaan, kutukan atau kejian. Itu semua kerja Allah. Nak kutuk belakang, depan, tepi, tengah.. suka hati. Jawablah sendiri dengan Allah. Aku? Tak kuasa nak melayan!

Kadang-kadang aku terfikir, salahkah aku bertanya? Bila semua pertanyaan aku itu dipulangkan paku begitu untuk aku hunuskan tepat dalam hati. Menyesal? Tak. Buat apa nak menyesal dengan sikap manusia yang sebegitu. Dah itu lumrah kejadian manusia. Biarlah.

"Terima kasih ya kak Ellis, sebenarnya saya ni macam akak juga. Lebih banyak tak tahu dari tahu," kataku.

Satu saja yang aku tak patut buat. Aku tak patut ajukan pertanyaan. Aku tanya untuk kepastian. Maklumlah, waktu itu kerja. Kalau aku merewang-rewang cari maklumat tentang pesta buku, bukankah menempah maut namanya? Jadi, secara sorok-sorok aku mula ym. Hah! Padan muka aku. Kena sebijik dari dia (orang yang aku tanya tulah!) Bagus sangat. Terima kasih ya dik, kau buat akak sedar. Sedar yang aku ini bukan PENULIS! Terima kasih, banyak-banyak!

Aku terus buat kerja dalam kecederaan jiwa. Tak sampai beberapa minit kemudian, aku terima pula panggilan dari abang Din (Shaharudin Thamby). Panggilannya, buatkan aku lupa tentang kecederaan yang dihadiahkan si adik tadi.

"Shahaini, telemovie awak insya-Allah akan ditayangkan dalam tempoh terdekat ni. Mungkin juga Hari Kekasih, sebab cerita tu romantik komedi..." katanya yang membuatkan aku kembali berbunga.

"Abang tahu tarikh yang tepat, saya takut terlepas aja," ujarku pula.

"Entahlah, RTM pun tak dapat nak beri tarikh yang sebenar. Awak tengok aja di suratkhabar ok, tapi kalau terlepas pun ada salinannya. Cuma tak berapa seronoklah... tengok terus di tayangan lagi bagus,"

Benar kata abang Din. Dia juga ada kata padaku, hebohkan tentang drama itu pada kawan-kawan. Sudah tentu, aku akan buat demikian. Bukan untuk berlagak tapi aku mahukan reaksi mereka yang benar-benar jujur. Tunggu sajalah saat dan ketikanya.

Malah, abang Din juga ada beritahu bahawa dua proposal untuk drama bersiri dah hantar kat RTM. Tunggu kena panggil saja. Dan yang paling buat aku kembali segar dan yakin diri bila abang Din suruh aku jangan berhenti menulis. Sekurang-kurangnya, ada juga orang yang tak meragui aku dan memberi sokongan.

Terima kasih abang Din dan kak Ellis. Saat-saat jiwa sedang keluluhan, Dia menyuluhkan sinar harapan menerusi mereka berdua. Alhamdulillah.....

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku