Rasa Itu Aku Yang Punya...

Kurniaan tertinggi dan percuma dikurniakan dalam setiap kehidupan manusia ialah kasih sayang. Aku percaya semua manusia dalam sedar atau tidak, rasa itu pasti ada. Lebih bertuah lagi, apabila kasih sayang itu datang daripada orang selain keluarga kita sendiri. Dan sepertimana yang pernah dirasakan orang lain, aku pun begitu juga.

Mungkin kalian pernah mendengar ungkapan 'cinta pertama'. Ramai yang mengatakan 'cinta pertama' adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilupakan. Benarkah begitu? Secara jujurnya, aku akui, ya! Perkara yang paling sukar dilupakan. Tidak kiralah apa juga cara yang dicuba, tapi rasa itu tetap ada. Malah, cinta seterusnya yang datang sentiasa menjadi mangsa perbandingan.

Bagaimana bisa ianya dilupakan?
Kenapa sukar untuk dilenyapkan?

Aduh! Sakit apabila memikirkan. Disebabkan itu juga, setiap kali bertemu dengan 'hati' yang baru, aku akan berterus terang. Tidak mahu rasa bersalah mengekori setiap kali bersama 'si dia' yang datang kemudian. Setiap masa juga, 'si dia' yang terkemudian ini tidak akan pernah faham. Malah mempunyai anggapan yang bukan-bukan. Kasihan. Terlalu singkat pemikiran mereka. Apa? Adakah semua cinta itu akan disusuli dengan noda? Itu mungkin kisah cinta dalam hidup kamu, tetapi bukan aku.

Aku mula mengenal rasa cinta itu di zaman persekolahan. Ramai yang mengatakan kepadaku, itu sekadar 'cinta monyet' tetapi bagi aku yang merasakannya sendiri mengatakan sebaliknya. Sebab kalian perlu tahu, rasa itu aku yang punya. Akulah yang lebih tahu! Ada juga yang mengatakan, rasa yang aku ada itu bukannya 'cinta' tapi sekadar suka. Malah, ianya tidak sehebat mana kerana tiada ucapan sehidup semati. Hah?

Kalau cinta perlukah ucapan sebegitu? Saya sayang awak, awak sayang saya? Saya cinta awak, awak cinta saya?

Atau perlukah perlakuan intim? Berkepit, tak boleh berenggang? Pegang tangan? Peluk-peluk?

Adakah itu sahaja perkara yang boleh mensahihkan CINTA?

Cukuplah aku katakan, rasa cinta yang aku ada itu terlalu indah...

3 bulan pertama... ragu-ragu,
3 bulan seterusnya... paling indah dan aku pasti inilah dinamakan cinta!
Sebulan... penuh penyeksaan,
Setahun...rasa yang bercampur hinggakan aku terpaksa berundur.
Lima tahun... sendiri, membawa diri sebelum ditemukan peluang kedua.
Dua tahun... kembali tersenyum.
Setahun... penuh dugaan yang mana akhirnya memilih haluan masing-masing.

Kini aku ditemukan pelbagai pilihan, namun tiada satupun sepertinya. Terus terang aku katakan, dia satu dalam seribu. Malangnya, manusia diberikan peluang hanya 2 kali. Aku pasti tidak akan ada lagi peluang untuk kali ketiga.

Ketahuilah kalian, dia telah aku letakkan di mata dan di hati... dia masih ada. Tak banyak yang dilakukannya cuma pernah membuat aku rasa terlalu istimewa. Istimewa. Bukan seperti puteri atau permaisuri tetapi seperti seorang gadis. Gadis yang perlu dilindungi, disayangi dan dihormati. Ya, itu yang pernah dilakukannya.

Dia melindungi aku daripada segala umpat keji...,
Sentiasa bersamaku bila ada kata-kata busuk menghina menghampiri
Walaupun ia dari teman sendiri dan turut menghitamkan namanya untuk melindungiku.

Dia membuatkan aku rasa disayangi...,
Bertanya tentang diri dan keluargaku. Menasihati dan mengajar. Mendahulukan aku dari segala segi. Buat aku tersenyum ketika aku bermuram dan buat aku ketawa setiap kali marah. Sentiasa cuba buat aku gembira. Ya, bersamanya aku gembira!

Dia menghormati aku...,
sebagai seorang gadis dan bukannya perempuan.
Seorang gadis akan lebih menyayangi lelaki apabila dirinya dihormati dan bukan dijadikan sebagai bahan untuk suka-suka.

Itulah dia di mata dan di hatiku. Adakah kau mampu menandingi dia?

Aku tahu. Soalan itu tidak patut aku ajukan. Lain individu, lain sikapnya dan lain juga kelebihannya.

Seseorang pernah mengatakan cinta pertama yang bermula di zaman sekolah hanyalah mainan perasaan dan sesuatu yang bodoh. Bagi aku pula cinta yang dirasakan pada waktu inilah yang paling jujur. Tiada perasaan lain untuk mencemar kesuciannya melainkan kasih dan sayang. Mengisi kekosongan yang ada dalam hati dua insan. Itu sahaja. Dan seperti yang aku katakan, rasa itu aku yang punya. Aku sahaja yang tahu. Dan padaku, dia tetap yang terbaik.


Masih sayang?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku