2 jam untuk perjalanan 45 minit?

Sumpah. Kejadian hari ini (pagi tadi) buatkan aku mahu sahaja hantar surat letak jawatan pada majikanku. Tidak. Bukan kerana politik pejabat atau lain-lain isu tetapi hati aku ini yang semakin berkarat. Hmmm.

Sebenarnya, aku pejam mata apa juga peristiwa yang terjadi di pejabat dan juga sekitarnya. Bak kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Mohandas Karamchand Gandi atau lebih dikenali sedunia dengan nama, Mahatma Gandi.

"Bura mat suno, bura mat dekho, bura mat bolo!"

Apa hal ni? Melayu murtad ke aku? Sibuk pinjam kata-kata pemimpin India pula, kenapa? Dah kering sangatkah kata-kata pemimpin Melayu dari zaman Kesultanan Melayu sehingga zaman pemerintahan demokrasi terpimpin sekarang?

Hei, jangan lupa ya. Kita perlu amalkan konsep yang diperkenalkan kerajaan. Dan aku, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya sentiasa 'mendukung' apa juga kempen yang diperjuangkan kerajaan. Dahulu dan selamanya. Woit... kenapa tiba-tiba kalian terbatuk? Salahkah apa yang aku katakan ini? *Sentap*

Tidak. Jujurnya aku akui alasan yang sebenarnya bukan kerana konsep 1 Malaysia, sebaliknya kata-kata dari Mahatma Gandi itu sahaja yang boleh aku fikirkan buat masa ini dan sesuai dengan apa yang mahu aku sampaikan. Tak ada kaitan pun dengan isu 1 Malaysia ya. HARAP MAKLUM!


Inilah dia...
(pandai pulak Jonas Brothers buat gaya kata-kata Gandi)

Jangan dengar benda-benda buruk (jahat), jangan lihat benda-benda buruk (jahat), jangan cakap benda-benda buruk (jahat). Itulah amalan aku setiap kali keluar dari rumah, menuju ke pejabat. Sepertimana juga kalian, separuh dari masa aku pun dihabiskan di pejabat. Sepanjang masa juga aku perlu tutup telinga, mata dan mulut. Jangan ambil tahu hal orang walaupun ada percubaan menyumbatkannya ke telinga, mata atau mulut. Hehehe.

Selepas sahaja berlakunya peristiwa tersekat dalam kesesakkan lalu lintas disebabkan banjir kelmarin, aku bertekad keluar awal dari rumah. Ya. Pukul 7.30 pagi. Memang awal kalau diikutkan jarak dari rumah aku ke pejabat yang (sepatutnya) makan masa tak sampai pun 45 minit.

Sewaktu aku berkelana bersama-sama Romi (Satria kesayanganku), tak sampai pun 30 minit. Tetapi, semenjak Lolly kupandu, paling awal pun, 45 minit. Okaylah tu!

Kisah bermula, pukul 7.30 pagi. Aku mulakan perjalanan dengan bismilllah, sambil melambai-lambai pintu pagar rumah yang ditutup secara otomatik. Bukan ada umi pun sebab, dia sibuk menjaga cucu-cucunya di dalam rumah. Dek disebabkan dah terbiasa melambai ala-ala Ucop Wilcha (dulu ala-ala Miss Universe... bosan!) ke arah umi dan abah, jadi aku lambailah juga ke arah pintu pagar.

Perjalanan dimulakan perlahan. Awal lagi. Nak kejar apa, laju-laju pagi macam ini. 70KM/J, aku kira kelajuan yang ideal di dalam kawasan perumahan. Sampai ke simpang Kundang, aku dapat lihat barisan kenderaan (campuran motor, van, gogek-gogek, lori, mpv, basikal dan macam-macam lagi) sudah pun memenuhi sepanjang jalan. Aku pandang arah jam. Baru pukul 7:45 pagi. Masih awal. Jadi, aku pun teruskan perjalanan dengan membutakan mata, tidak mahu pandang simpang ke Kundang.

Malangnya, semakin lama, semakin banyak kereta yang berpatah balik. Aku tetap dengan pendirian (hakikatnya dah goyah pun). Aku tak mahu, patah balik, nanti sama juga. Tersekat lebih teruk. Siapa tahu, jalan Kundang lebih teruk keadaannya? Pukul 8.00 pagi, aku sampai pula di simpang Taman Velox. Ya. Beranjak sedikit saja dari tempat di mana aku berada 15 minit sebelumnya.

Aku mula kaget bilamana jam sudah menunjukkan 8.15 dan aku masih belum melepasi simpang ke Country Home. Aku pandang ke arah bertentangan. Kereta-kereta banyak yang berpatah balik. Hati kecil mula berbisik, aku pun patut buat yang sama. Hmmm. Entah kenapa, hari ini aku jadi degil. Tak mahu dengar kata hati. Tak sampai beberapa minit selepas itu, aku dapat SMS dari Along, mengatakan yang dia pun masih tersekat. Apa?

Dia keluar lebih awal dari aku. Seawal pukul 6.30 pagi dan katanya, dia masih berada di kawasan Rawang. Dia pesan supaya aku patah balik dan ikut jalan Kundang. Entah kenapa, tanpa berfikir panjang, aku pun terus mengikut pesan Along. Sempat juga aku berbalas SMS dengan Along. Ya. Memang salah. Tapi kalau jalan sesak dan tak bergerak walau seinci, tak salah rasanya aku berSMS.

"Lori treller terbalik dekat simpang keluar tol Rawang. Lorong kecemasan saja yang dibuka."

Ya Allah. Begitu al-kisahnya. Namun, malang nasib aku. Jalan yang aku guna di Kundang itu pun sesak. Along kata, itu mungkin disebabkan dah banyak kereta patah balik. Apa-apa pun, aku bernasib baik. Sempat juga aku SMS majikan dan mengatakan ada kemalangan. Sepertimana biasa, dia tak akan balas. Aku faham.

Sampai di pejabat pukul 10 pagi. Selamat. Keluar dari rumah pukul 7.30 dan sampai ke pejabat 2 jam kemudian. Dalam tempoh 2 jam, macam-macam artikel aku boleh buat. Aduh! Kalau kalian nak tahu, kemalangan yang berlaku di waktu pagi, berlarutan sehingga ke lewat petang. Ya. Semasa aku balik, aku menggunakan lebuhraya Rawang. Memang sesak. Semua kenderaan bergerak perlahan.

Nak mengamuk pun ada dibuatnya. Sudahlah pagi tersekat 2 jam di jalanraya saja, takkan petang pun aku terpaksa tempuh nasib yang sama. Aku diam saja. Melayan dendangan suara-suara penyanyi ke telinga aku. Sampai sahaja ke simpang Rawang, sesak mulai reda. Kenapa? Kesesakan tadi berlaku sebab semua pemandu sibuk memandang kerja pembersihan lori treller yang terbalik pagi tadi. Itu pun, di arah jalan yang bertentangan.

Kalau diikutkan, mahu sahaja aku buka cermin tingkap dan suruh semuanya terus bergerak tanpa memperlahankan kenderaan kerana ia hanya menyusahkan pemandu-pemandu lain di belakang. Tak pasal-pasal tersekat. Semuanya disebabkan 'ramai' sangat yang prihatin *SENTAP*.

Disebabkan keprihatinan mereka (*SENTAP) aku sampai rumah hampir pukul 8.00 malam. Ya, kesesakan tadi meninggalkan impak pada fizikal dan emosiku. Kejang kaki dan sakit hati. ADUH!

Malam sempat hiburkan hati dengan Maharaja Lawak. Terhibur jugalah hati dengan gelagat beberapa orang peserta terutamanya JoZan dan Jambu. Hahaha. Sebenarnya, aku tak setuju penggunaan Maha kerana perkataan 'Maha' itu sendiri merujuk kepada Allah. Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kaya. Tapi, kalau nak cakap lebih-lebih, marah pulak orang nanti. Baik diam. Bura mat dekho, bura mat suno, bura mat bolo! Hahaha.

* Tak payahlah kalian sibuk nak nasihat aku tukar kereta auto. Walaupun sakit-sakit pakai kereta manual, aku tetap berjiwa manual. Bukan auto! Lalalala...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku