Sejarah yang Berulang...

"I mourn the loss of thousands of precious lives, but I will not rejoice in the death of one, not even an enemy."

"Aku meratapi kehilangan ribuan nyawa yang berharga, tapi aku tidak akan bersukacita dalam kematian seorang pun, bahkan musuh."

Aku meminjam petikan kata-kata internet ini (yang kononnya dikatakan kepunyaan Martin Luther King) untuk umat Islam fikir-fikir dan renung-renungkan. Bukan susah untuk faham apa yang disampaikan, tetapi bukan juga mudah untuk jutaan manusia untuk melakukan apa yang dikatakan.

Aku bercerita tentang betapa mudahnya manusia khasnya Islam terbeli dengan drama yang plotnya disusun atur dan digarap secara berkesan oleh 'Polis Keamanan Dunia' Amerika. Siapa melantik dan siapa yang dilantik? Manusia dunia melantik, dan yang dilantik... Amerika. Dalam sedar atau pun tidak, rata-rata negara dunia menjunjung kepimpinan Amerika. Apa yang dibuat Amerika, benar. Apa juga keputusan dibuat Amerika, TERBAIK!

30 Disember, 2006. Umat Islam sedunia meraikan kemenangan memerangi syaitan. Ya. Itulah tarikh hari Raya Aidil-Adha. Hari raya kurban. Di satu sudut, Amerika meraikan kemenangan mengalahkan 'syaitan'. Syaitan dengan nama Saddam Hussin. Mahkamah dunia memutuskan, beliau bersalah dan perlu menjalani hukuman gantung. Mahkamah dunia? Hukuman gantung? Hukuman gantung sampai mati. Apabila pesalah (Saddam Hussin) gagal dimatikan menerusi hukuman gantung, beliau ditikam berkali-kali sehinggalah mati. Mati seluruhnya. Beginilah caranya, mahkamah dunia dan Polis Keamanan Dunia 'menghormati' agama lain. Agama Islam. Tanpa mengira batas waktu. Atau lebih tepat lagi, mengambil kira waktu paling sesuai 'menghukum' pesalah dunia. Menghukum di hari mulia. Hari raya kurban. Kurban yang lebih istimewa, Saddam Hussin. Siapa berani bersuara? Masing-masing senyap. Senyap seribu bahasa kerana Amerika itu 'DEWA'!

Sekarang, pastinya ramai yang anggap aku anti-Amerika. Tapi, KFC (Kentucky Fried Chicken) aku makan juga. Minuman Coca Cola, aku teguk juga! Aku bukan benci atau anti-Amerika, tetapi para pemimpinnya. Malah, aku punya ramai kenalan dunia siber dari Amerika. Tidak pernah sedikit pun aku membenci mereka kerana aku tidak menghukum orang menerusi apa yang dianuti tetapi apa yang dilakukannya. Lihat sahaja para penghuni Rumah Putih. Jelas dan nyata, setiap ahli yang menduduki Rumah Putih itu mempunyai pelbagai visi. Namun begitu, satu misi yang tidak pernah terlepas dalam hati mereka, Islam harus diperangi. Islam itu pengganas. Pengganas di mata mereka. Mereka tanam, mereka semai dan paling menyedihkan, disahut juga oleh segelintir umat Islam. Islam yang mengaku diri mereka, moden. Moden?

Aku dan kau,

kita tidak hidup di Afghanistan.
Aku dan kau,
tidak tahu apa pilihan yang diberikan kehidupan kepada mereka.
Aku dan kau,
tidak punyai hak untuk menuduh mereka itu dan ini.

Bukan aku membutakan mata dengan apa yang mereka lakukan. Apa yang aku kesalkan, apabila kita sama-sama menempelak. Mengatakan mereka pengganas. Ingatkah lagi tentang perjuangan penduduk Malaya? Para wanita turut mengangkat senapang dan senjata? Adakah nenek moyang kita itu digelar pengganas atau pun pejuang? Adakah nenek moyang kita mempunyai pilihan untuk menyelesaikan masalah dengan cara aman?

Desakan. Manusia bertindak kerana desakan. Disebabkan desakan itu, muncullah para pejuang seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan Dato Maharaja Lela. Itu yang kita sebut sebagai pejuang. Tetapi, bukankah pihak penjajah menggelar mereka sebagai 'penderhaka'?

Dalam Islam, jelas menyatakan. Peperangan itu bukanlah pilihan pertama. Sebaliknya, pilihan yang terakhir. Apa hak kita untuk menuduh, mereka yang dicop sebagai pengganas itu menjadikan peperangan sebagai pilihan pertama? Oh ya, mungkin masih ada yang kurang jelas tentang pengganas mana yang aku bebelkan? Insan yang aku maksudkan, Osama Bin Laden. Di mana kematiannya 'diraikan' oleh segenap lapisan masyarakat dunia termasuklah pemimpin-pemimpin Islam. Ha? Meraikan? Ya. Mereka meraikan kerana Osama mati di tangan Amerika Syarikat. Polis Keamanan Dunia.

Benar. Memang akui apa yang dilakukan Osama Bin Laden dan kumpulannya Al-Qaeda memang salah. Perbuatan itu tidak boleh dihalalkan. Peperangan tidak sepatutnya melibatkan orang awam terutama sekali warga emas, wanita dan anak-anak kecil. Ya. Itu memang jelas salah. Perbuatan itu sepatutnya dihentikan. Namun, adakah adil tindakan Polis Keamanan Dunia ini menuduh kekejaman ini puncanya dari Osama Bin Laden dan Al-Qaeda? Bagaimana pula dengan kekejaman Zionis? Kekejaman si Yahudi yang tidak pernah berhenti dan disekat menyerang Islam di Palestin? Terang-terangan.

Tidak. Tentera Amerika atau sekutunya tidak menurunkan bala tentera, bergabung menakluk Israel sepertimana yang mereka lakukan terhadap Iraq. Terbaru, mereka cuba pula menjadi superhero (ciptaan mereka sendiri) Superman dengan menghantar bantuan ke Libya. Kononnya nak membantu rakyat Libya berperang dengan Muamar Gadaffi. Dimanakah pakatan Islam? Adakah kita mahu perkara yang terjadi di Iraq berulang di Libya? Atau mungkinkah kita mahu menjadikan Libya sebagai satu lagi serpihan negara Islam seperti Palestin?

Amerika Syarikat. Diangkat sebagai Polis Keamanan Dunia. Polis Keamanan Dunia yang memerangi Islam secara nyata . Tetapi pengecut apabila Israel menghalakan senjata, mortar dan segala mak datuk bom ke negara-negara Islam. Setelah Iraq, mereka menanti masa untuk menghalakan mulut senjata ke Iran. Alasan? Iran mempunyai teknologi nuklear. Alasan basi. Basi. Selepas ini, aku tidak hairan kalau mereka menurunkan bala tentera keamanan mereka ke Pakistan, Afghanistan dan negara-negara Islam lain dengan alasan yang entah apa-apa lagi.

Sepertimana yang aku nyatakan tadi, Osama dan Al-Qaeda tidak boleh dimaafkan (jika benar segala pertuduhan yang dilemparkan). Namun pertuduhan yang Amerika Syarikat lemparkan juga tidak patut dipandang sepi. Dunia dikejutkan dengan serangan 11 September. Segala jari menuding ke arah yang satu. Osama. Al-Qaeda. Osama pula pernah menafikan perbuatan itu. Jujurnya, aku yakin Osama tidak menipu. Osama itu pengganas (kalau itu yang dunia mahu fikirkan) tetapi bukan pengecut. Kenapa pula dia tidak mahu bertanggungjawab atas serangan yang dilakukan? Dia pengganas. Sebelum peristiwa 11 September, dia berani mengaku segala perbuatannya. Kenapa 11 September tidak?

Pelbagai teori dikeluarkan. Malah ada penganalis dari Amerika Syarikat sendiri mengatakan, kejadian itu bukan didalangi oleh Al-Qaeda mahupun Osama sebaliknya, konspirasi terbesar yang dirancang Amerika sendiri. Hmmm. Apa maksudnya itu? Amerika Syarikat sendiri berbalah tentang peristiwa serangan 11 September sehingga saat ini. Seorang menuduh Osama Bin Laden, manakala satu pihak lain membela Osama. Disebabkan peristiwa itu juga, pelbagai lagi rentetan peristiwa berlaku. Macam-macam video menunjukkan keganasan kumpulan Al-Qaeda. Membunuh orang sesuka hati. Menahan tebusan, memancung dan begitu begini. Persoalan yang timbul dalam otak aku (setiap kali menonton video tersebut) kenapa Al-Qaeda pengecut. Bersembunyi di sebalik topeng? Hahaha. Itu bukan Al-Qaeda, sebaliknya pihak-pihak yang mengambil kesempatan di atas nama Al-Qaeda. Dengan cara ini, Al-Qaeda terus membusuk, Osama terus dinobatkan sebagai PENGGANAS.

Walau apa juga kisah di sebalik segala peristiwa ini, aku hanya tahu satu. Sebagai umat Islam, kematian seorang umat Islam yang lain bukanlah sesuatu alasan untuk kita bergembira. Sebaliknya, setiap kematian hamba yang kembali kepada Penciptanya, Allah SWT yang satu harus diiringi doa. Doa kesejahteraan dan juga mendoakan agar segala dosa yang dilakukannya dimaafkan Allah.

Aku meminjam kata-kata seseorang yang membuatkan aku percaya bahawa Islamiah masih belum terhapus dalam arus kemodenan ini ...


Ulasan TG Nik Aziz berhubung kematian Osama Laden

JIKA benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam. Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara muslim yang lain.

Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan kegananasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut. Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti.

Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini. Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin? Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel. Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas.

Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar pun tidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel.

Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?

Sekian, wassalam.

TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 30 Jamadil Awal 1432H bersamaan 3 Mei 2011M


*
Renung-renungkan ucapan Nik Aziz. Adakah pemimpin-pemimpin lain mempunyai fikiran begini? Seperti yang aku nyatakan dahulu, aku bukan ahli politik mahu pun menyokong sesiapa. Tetapi aku mempunyai mata dan akal. Mata untuk melihat, akal untuk berfikir. Hati aku sayu. Sayu melihat apabila kematian seorang pejuang Islam seperti Osama diraikan umat Islam sendiri. Wallahualam.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku