Bersalahkah aku?

Sudah berhari-hari, aku tak nampak dia. Sejak hari itu...

Hari itu,
aku kira, bahasa aku kurang sopan.
Aku fikir, mungkin ada yang sudah tahu.
Aku mengaku, tidak selesa.

Hari itu,
aku meninggi suara.
Tidak ada senyum di bibir.
Wajahnya pun tidak lagi dipandang mata.
Ya, aku mahu tamatkan kecelaruan.

Senyum disalah tafsir?
Aku senyum semata-mata sebagai sedekah, bukan tanda aku ramah.
Nada suara mengelirukan?
Suara aku rendahkan kerana hormat dia, sebagai seorang manusia.

Mungkin salah itu datang dari aku. Sepatutnya dari awal, aku tak perlu senyum. Jangan bertanya atau membalas kalau ditanya. Tak payah melihat wajah seseorang untuk berbicara.
Mungkin.

Aku tidak tahu sama ada aku bersalah. Tak pernah pun aku cerita pada sesiapa kecuali rakan sekerja dan keluarga. Hal ini, aku simpan sendiri. Aku tak mahu sampai ke pengetahuan pihak majikan. Tindakan hanya akan aku ambil sekiranya dia melangkaui batasan.

Memang, dia pernah mencari aku sehingga ke pejabat. Bukan satu, dua tapi berkali-kali. Di mana-mana dan bila-bila terserempak, aku dipanggil dengan gelaran...
Sayang... darling... sweetheart!

Ya, dia buat aku malu. Aib benar aku rasa. Kenapa perlu dia berani panggil aku dengan nama itu? Adakalanya, dia menjerit untuk memaksa aku memandang ke arahnya. Adakah sekadar gurauan atau mempersenda? Pernah juga dia tawar diri mahu belikan sarapan. Kenapa?

Mungkin...
dia bukan seiman, fikirnya itu bukanlah satu kesalahan?
bukan sekaum, ia dianggap satu kebiasaan?
Maaf, itu bukan cara aku.

Aku tak kisah kalau dia mahu berkawan. Tidak kiralah apa bangsa, agama atau kerjanya. Berkawan itu tidak pernah salah. Tetapi, ada batas. Aku tak pernah pun rapat dengan dia. Jadi, panggilan dan sikapnya itu agak keterlaluan. Memang aku rimas dan pernah mengharap, dia pergi jauh. Dipindahkan jauh. Aku mahu tenteram setiap kali sampai ke pejabat, bukannya mencari-cari bayang dia supaya dapat mengelak dari bertemu!

Mungkin, dia benar-benar sudah pergi jauh. Aku tak lagi bertemu dengan dia. Kali terakhir terserempak, beberapa minggu lalu. Tidak seperti selalu, dia menunduk. Aku hairan, tetapi bersyukur. Sekurang-kurangnya, tidak ada lagi yang mengganggu. Tak perlu lagi aku berkira-kira untuk melangkah.

Namun, aku juga tidak menafikan rasa ingin tahu.
Kenapa dia berubah begitu?
Adakah seseorang sudah tahu?
Atau adakah dia telah dikenakan hukum?

Sekarang, setiap kali melalui pondok pengawal, sudah ada orang lain mengawal, membuat aku tidak henti menyoal...

Bersalahkah aku?


Di mana juga kamu, harap dapat maafkan aku
kalau benar aku yang bersalah...

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku