CARUT!



Satu perkara yang buat aku tidak faham sejak kecil lagi, kenapa manusia suka sangat mencarut? Aku tak faham, kenapa mereka perlu 'bogel' semata-mata untuk meluahkan kemarahan atau rasa tidak puas hati? Apa yang mereka dapat dengan mencarut?

Setiap perkataan yang lahir dari bibir merupakan satu doa. Bukankah pelik bunyinya, kalau doa itu terlafaz dengan kata-kata kesat? Tak silap aku, setiap perkataan kotor yang keluar dari mulut, mendatangkan dosa. Betul tak? Kalau dah tahu berdosa, kenapa mencarut? Marah sangat? Tak puas hati? Adakah carut satu ekspresi yang tepat? Benarkah ia tepat?

Sebenarnya, sejak dari kecil lagi aku dan adik-beradik yang lain telah diajar untuk tidak mengungkapkan kata-kata sebegini. Aku masih ingat lagi, umi sediakan cili api dan tenyeh di bibir kami setiap kali keluar perkataan yang tidak sepatutnya. Berkesan? Barangkali, ianya berkesan sebab sampai ke hari ini, sangat sukar untuk aku melafazkan perkataan kesat. Dalam hati pun tak kesampaian nak diniatkan. Bukan takutkan kepada cili api (hehehe, aku kuat makan pedas. Kalau tak makan pedas sehari, rasanya macam MATI) tapi, sebab sudah terasuh sejak kecil lagi. Jadi, aku berani katakan cara umi dan abah mengasuh kami amatlah berjaya. Cumanya, aku tak pasti dengan Along dan Ayuz. Sama ada mereka masih lagi seperti aku yang tak menggunakan perkataan ini, atau sudah berubah mengikut peredaran umur. Entahlah. Aku tak tahu tentang itu.

Pernah juga aku menggunakan perkataan yang dikategorikan sebagai perkataan CARUT; celaka, babi dan lahabau. Hmmm. Tapi, benarkah perkataan-perkataan ini tergolong dalam CARUT?

Perkataan pertama, celaka. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, Celaka bermaksud;
1. malang (bkn nasib seseorang), sial, tidak baik: nasibnya sungguh ~; 2. sesuatu yg menyebabkan penderitaan (kesusahan dll), kemalangan, kesialan: apabila sudah mendapat ~, seorang pun tidak datang menolong; 3. makian, keparat, jahanam, bedebah: anak sial, anak ~! 4. seruan utk menyatakan kemarahan (kekecewaan dll): Ah, ~, apalah nasib; ~ tiga belas malang sekali; mencelakakan menimbulkan (mendatangkan) celaka, menjahanamkan (merosakkan dll): lubang itu digali orang utk ~ kita; dia ~ setiap orang yg berkawan dengannya; kecelakaan bencana, kemalangan, kesusah­an, malapetaka: hidupnya terdesak dan mengalami ~ selalu; polis tidak ada di tempat ~ itu; perempuan itu mati kerana ~.

Jadi, adakah ia tergolong dalam perkataan CARUT? Aku fikir, tidak. Pernah aku ditegur seorang kenalan, katanya tidak baik gunakan perkataan Celaka. Jadi, aku hormati pendapat dan nasihatnya. Alhamdulillah, aku tak guna lagi perkataan ini.

Perkataan kedua, babi. Semua tahu apa maksud perkataan ini. Binatang yang haram untuk orang Islam. Kenapa kalau marah, aku sebut babi? Hmm. Sebab, dah habis tahap kesabaran. Babi, paling senang disebut dan puas apabila disebut. Orang yang dengar pun tahu, kalau keluar perkataan ini, tandanya aku memang sedang sangat marah! Tapi, semenjak umur dah nak meningkat, aku cuba tukar penggunaan perkataan babi ini kepada; HARAM! Hehehe. Habis marahlah tu gamaknya!

Perkataan ketiga, lahabau. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, Lahabau bermaksud;
bk kata makian yg bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap, haprak.

Mula dengar perkataan ini dari seorang nenek angkat di Melaka. Aku guna, sebab dah terdengar. Jadi, aku fikirkan ia satu perkataan yang biasa-biasa saja. Tapi bila ditegur, Alhamdulillah... perkataan ini dijatuhkan hukuman mandatori, TIDAK BOLEH DISEBUT!

Itu tiga perkataan yang pernah seringkali aku gunakan untuk meluahkan kemarahan. Tapi, alhamdulillah, sekarang dah kurang. Cuma, aku sangat pelik apabila mendengar, melihat dan membaca perkataan CARUT ini secara tidak segan silu diletakan di ruang laman soSIAL... oppps, laman sosial. Tidak kiralah, di blog, Twitter mahupun Facebook. Penggunaannya sangat berleluasa. Budak kecil yang masih bersekolah rendah pun sudah pandai menggunakan perkataan-perkataan ini. Hmmm. Tidak ada pantauan dari ibu bapa atau guru-guru? Atau mereka belajar perkataan-perkataan ini dari ibu bapa mahupun guru-guru sendiri? Bukan menuduh, sebaliknya memikirkan kemungkinan.

Tidak kurang juga di IPT mahupun di tempat kerja. Perkataan-perkataan yang seakan mengaibkan keluar dengan mudah dari mulut-mulut manusia ini. Hmmm. Adakah ia perkataan keramat yang boleh dibanggakan semasa melafazkannya? Nampak sahaja berpelajaran, tapi bila marah, seakan jamban terlekat di bibir. Semua perkataan kesat meluncur laju keluar tanpa rasa segan dan silu?



Jujurnya, aku tidak berapa hairan kalau mendengar kaum Hawa mencarut. Sekurang-kurangnya, perkataan yang dicarutkan adalah kepunyaan mereka tetapi yang menjadi isu kepada aku, apabila kaum Adam yang bangga menggunakan perkataan-perkataan yang seumpama menelangjangkan kaum Hawa di depan mereka. Bukankah ia seakan gangguan seksual? Gangguan seksual boleh disabitkan kesalahan, betul tak? Inilah yang aku rasa setiap kali berdepan dengan kaum Adam yang sangat bangga melafazkan perkataan mencarut ini yang membabitkan kemaluan wanita. Kenapa tidak guna perkataan lain? Kenapa oh kenapa?



Apa kata, lainkali guna anggota badan yang semua orang boleh nampak.

"Hidung betul kau, Senah! Suka-suka hati tuduh aku kacak!"

"Telinga betul budak-budak ni, aku suruh 'photostat' bukan faks!"

"Kaki busuklah kau, tak boleh buat cakap ajelah. Tak payahlah aku susah-susah tunggu."

"Lutut! Aku bukan cakap dengan kau, tapi dengan si Leha ni!"

"Siku... ambik ni! Jangan tunjuk muka seposen kau lagi!"

Senang bukan? Dalam masa yang sama, tak payahlah kumpul dosa banyak-banyak. Memang bukan senang nak mengawal diri dari melakukan dosa. Tapi, selagi termampu apa salahnya kita mencuba perlahan-lahan. Wallahualam.

* Sebaik-baiknya, cubalah istighfar banyak-banyak. Itu adalah lebih baik, mendekatkan kita kepada Allah dan menghindar terus mulut kita dari melakukan dosa. Cuma, kalau dah habis sabar dan nak juga tunjuk serta luahkan kemarahan itu kepada orang yang sepatutnya, cubalah gunakan perkataan-perkataan ini. Boleh?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku