Yang Sentiasa Ada ...

Tarikh ini datang lagi. Tidak kiralah untuk berapa abad, dekad atau kelahiran (wujudkah kelahiran lain? Melampau! Inilah akibat banyak sangat disuntik filem 'kelahiran semula'. Ambik kau! Hohoho), satu perkara ini akan kekal bersemadi jauh di lubuk hati yang paling dalam. Haish, ala-ala Kuch Kuch Hota Hai pulak! Asyik-asyik, pehla pyar (cinta pertama) yang bertakhta! Kasihan Aman Mehra (sekadar selingan ya!) Auwww...

Dulu, pernah aku katakan. Kenangan dan memori adalah hak abadi seseorang! Ia hanya boleh hilang sekiranya musibah melanda diri. Sama ada tengkorak kepala pecah atau memori ditarik Allah subhana wa taala. Begitu juga, tiada siapa pun berhak menghalang memori dan kenangan itu dari terus menetap. Faham? Hahaha. Buat masa sekarang, alhamdulillah. Aku ingat setiap kata-kata. Setiap perbuatan. Bukan yang datang dari diri aku sahaja, malah dituturkan orang sekeliling. 


Sahabatku si Ariff pernah kata, aku umpama mesin perakam 24 jam! Apa yang aku rakam tidak relevan di mahkamah dunia. Namun, ia sangat bernilai di akhirat sana. Hati-hatilah kalau bertutur dengan aku. Setiap janji aku perhitungkan. Satu per satu akan aku ungkit di sana. Sedia?

Kalau difikirkan kembali, sekiranya memori aku diambil juga, semuanya sudah dirakamkan Allah. Jadi, menjawablah kalian nanti. Seksa di dunia, semua orang boleh lepas. Di akhirat sana, selagi tidak terlafaz maaf seorang anak Adam yang lain, maka menanggunglah akibatnya. 

"Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang yang kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; Janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan". (Hud :112) (dipetik dari blog Ibnu Muslim)

Siapa peduli? Ini hal yang sangat remeh. Tidak tersenarai pun dalam pasaran bursa saham. Manusia tak gentar dengan semua itu. Apatah lagi tentang dosa, pahala, baik, buruk, haram dan halal. Mereka ada perisai. Antara senjata dan perisai yang selalu digunakan, 

"Kubur lain-lain. Dosa aku, akulah yang menanggung! Kau sibuk, kenapa?"

Kalau dah bongkak begini, apa nak dikata? Biarkan sahaja dia menempah jalan lurus ke neraka! Sudah berusaha menegur kesalahan tetapi tidak diendahkan, dosa tidak jatuh pada kita. Sebaliknya, tanggungjawab sebagai manusia dan saudara seIslam, sudah dilaksanakan. Apa yang penting sekarang, pandai-pandailah kita menjaga diri. Hubungan dengan Allah sudah semestinya wajib dipelihara sebaiknya. Begitu juga hubungan sesama manusia dan makhluk lain harus dijaga. 

"Orang yang muflis ialah mereka yang datang pada hari qiamat dengan sembahyangnya cantik, dengan zakatnya yang cukup, dengan puasanya yang penuh; tetapi ia telah memaki ini, menuduh itu, memakan harta ini, menumpahkan darah itu, memukul ini. Maka dibayarkan untuk semua itu dari hasanat-hasanatnya. Kemudian bila telah habis segala pahalanya sebelum selesai membayar tanggungan hutangnya, maka diambilkan pula dosa-dosa orang yang diganggunya itu dan ditanggungkan kepadanya. Kemudian dilemparkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi) (dipetik dari blog Ibnu Muslim)

Abah selalu pesan, jaga kelakuan, bahasa dan adab sopan. Adakalanya, tidak tersedar pertuturan kita bisa mendatangkan luka dan mengguris perasaan orang lain. Walaupun memohon maaf, tetapi ada manusia yang tidak merelakan kemaafan. Tambah pula, kalau mendatangkan aib. Sedangkan Allah memelihara aib hambanya, inikan pula manusia yang sewenang-wenang mengaibkan manusia yang lain. Beringat-ingatlah dalam setiap tingkah laku. Melainkan kalau dah rasa diri sangat kaya dengan pahala. Itu, lantaklah! Malas nak layan. 

Oh ya, sebenarnya aku dah melalut sangat panjang. Tetapi, apa yang aku sampaikan di entri ini ada gunanya. Betul tak? Sebelum bertemu dengan noktah yang terakhir, ingin sekali aku ucapkan Selamat Ulangtahun kepada seseorang yang aku gelar kenangan. Seseorang yang sentiasa ada dalam ... 

Aku tinggalkan ruangan hari ini dengan lagu Dia. Mungkin, DIA akan mengerti!

Dia
Dia insan pertama yang bertahta
Dia insan pertama yang ku cinta
Dia pernah membuat ku bahagia
Dia yang mengajarku
Tentang erti rindu

Dia yang dulu pernah ku sanjungi
Pergi sehingga kini tak berganti
Hilang dari pandangan hidup ini
Membawa luka pedih tak terperi

Tiada ku duga
Permulaan yang jernih
Menjadi keruh dengan tiba-tiba
Bisa rintangan antaraku dan dia
Cinta terlarang oleh orang tua


Kini terkilan sungguh rasa hati
Dia tak pernah lagi ku temui
Dia ku abadikan dalam jiwa
Terima kasih atas segalanya



"Semoga berbahagia selamanya. Insya-allah. Amin..."

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku