Wahai Pengguna Jalanraya!!!

Beberapa hari lepas, ada teman di Facebook berkongsikan luahan seorang pengguna jalanraya yang aku percaya, seorang penunggang motosikal. Aku pasti, kalian sudah bertemu dengan kongsian ini dan membaca serta memahami apa yang ingin disampaikannya. Tidak dinafikan, aku bersetuju dengan beberapa perkara yang diketengahkannya, tetapi dalam masa yang sama, aku juga punya pandangan sendiri. 

Gambar Hiasan semata...
Sebelum membentangkan luahan aku pula sebagai pengguna jalanraya atau lebih tepat lagi, pemandu kereta, ia bukan bertujuan untuk menuding ke satu-satu pihak sebaliknya ambil jalan tengah supaya jalanraya di Malaysia ini selamat dan aman digunakan bersama. Di sini, dilampirkan sekali luahan penunggang motosikal yang dimaksudkan tadi.

Penunggang Motosikal,
Seluruh Negeri,
Malaysia.
_____________________________________________________
Pemandu Kenderaan 4 tayar dan ke atas,
Seluruh Negeri,
Malaysia.

Tuan/Puan

Saya mewakili penunggang motorsikal
seluruhnya ingin berpesan dan berkongsi
kepada pemandu-pemandu kereta yang
tidak pernah berpengalaman menjadi
penunggang motorsikal atau yang tidak
memahami perasaan menjadi penunggang
motorsikal bahawa:
Kami berhak menunggang motorsikal di
dalam lorong utama. Bukan hanya
menunggang di lorong kecemasan. Kerana
kami juga bayar cukai JALAN. Bukan cukai
LORONG KECEMASAN. Tidak perlu
bunyikan hon atau nyalakan lampu tinggi
kepada kami.

2) Jika pemandu kereta ingin memotong
kereta di hadapan, dan ada penunggang
motor di laluan bertentangan, kami layak di
hormati. Jangan memotong dengan
tanggapan bahawa kami kecil dan boleh
mengelak.

3) Di kawasan sesak, tolong lihat belakang
dan sisi terlebih dahulu sebelum menukar
lorong, sebab yang parah bukan anda tapi
kami.

4) Penunggang motorsikal seperti kami
BUKAN mat rempit. Kami layak dihormati
sama seperti orang lain.

5)Kepada pemandu kereta yang merokok,
jangan sesuka hati mencampakkan puntung
rokok ke luar tingkap. Perhatikan dahulu
jika ada penunggang motorsikal atau
pengguna jalanraya yang lain. Puntung
rokok yang masih berbara itu
berkemungkinan termasuk ke dalam
pakaian penunggang motorsikal dan
membahayakan kami.

6) Jangan hina kami hanya kerana kami
menunggang motorsikal. Allah dah
turunkan rezeki masing-masing. Tak perlu
berbangga dengan harta dunia.

Sekian.

Yang menunggang motorsikal...
— at Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Petaling Jaya Selangor D.E.

_____________________________________________________

Baik, itu keluhan dan luahan seorang penunggang motosikal. Ya, aku setuju dengan apa juga yang diluahkan serta memahami permintaannya. Walaupun tidak pernah menunggang motosikal, tetapi aku sangat menghormati setiap mereka kerana abah adalah salah seorang dari penunggang motosikal yang mungkin ketika ini sedang berada di jalanraya. Setiap kali abah bermotosikal (skuter Elegan), aku berdoa agar dia sentiasa selamat. Semoga pengguna jalanraya lain menghormati seorang lelaki perwira di hati aku dan keluarga kami.

Kalau dinilaikan semula, ia sangat berat sebelah dan menuding jari kepada pihak lain semata-mata. Percayalah, bukan semua pemandu kenderaan empat tayar dan keatas ini tidak berhemah atau tidak tahu menghormati pengguna jalanraya lain termasuklah penunggang motosikal, basikal, pejalan kaki dan sebagainya. Bagaimana pula dengan sikap (attitude) penunggang motosikal sendiri?

Seperti yang aku katakan tadi, bukan semua pemandu tidak tahu menghormati penunggang motor, begitu jugalah hakikatnya, bukan semua penunggang yang bersikap kurang sopan di jalanraya. Segelintir inilah yang mengakibatkan pemandu lain boleh jadi huru-hara. Aku tak mahu menyentuh banyak, cukuplah beberapa sikap penunggang motor yang agak menjengkelkan. 

1) Sebelum masuk simpang, perhatikan kiri dan kanan. Jangan anggap anda kecil, boleh masuk jalan sesuka hati dan kenderaan lain boleh mengelak. (Lorong jalan kecil, kalau motor masuk tiba-tiba membuatkan pemandu kenderaan sukar mengelak sebab harus jaga agar tidak menceroboh lorong bertentangan). Adakalanya, si motor terlepas, kereta sebelah menyebelah terbabas kerana nak mengelak motor tadi.

2) Apabila kenderaan lain sudah berikan isyarat untuk tukar lorong (khususnya ketika jalan sesak), berilah kerjasama dan hormati. Walau dah beri isyarat lebih awal, ada penunggang sengaja bunyikan hon. Lebih dari itu, ada yang siap tunjuk isyarat jari tengah.

3) Memang penunggang motorsikal berhak menggunakan jalanraya dan berada di tengah-tengah jalan, tetapi berilah laluan kepada kenderaan lain untuk memintas sekiranya kelajuan motosikal ditunggang kurang 50km/j. Terutamanya apabila jalan bertentangan sedang sesak dan lorong digunakan pula lengang. Toleransi sesama kita.

4) Jaga jarak antara motor dan kenderaan di hadapan supaya apabila tiba di lampu isyarat anda sempat berhenti dan mengelak dari berlakunya kemalangan sekiranya lampu bertukar merah. (Pengalaman sendiri; berhenti di lampu merah, seorang penunggang motosikal menghentam Lolly dari belakang dan terperosok masuk ke bawah. Bila ditanya, sama ada nampak lampu sudah bertukar merah, dia enggan menjawab!) Tolonglah utamakan keselamatan diri dan pengguna jalanraya yang lain.

5) Jalanraya bukanlah tempat yang sesuai untuk menjalinkan silaturrahim antara anda dan penunggang yang lain. Berbual-bual sambil menunggang membuatkan kenderaan lain terpaksa memintas anda. 

6) Jangan provok kenderaan lain untuk berlumba dengan anda. Memang dasarnya, anda kecil dan senang-senang boleh cilok, tetapi ia adalah tindakan kurang bijak. Kalau nak berlumba, carilah medan yang tepat. Bukan dijalanraya.

Kemalangan tidak boleh diduga tetapi boleh dielak, bukan?
Maaf kalau ada yang terasa tetapi andai terasa juga maknanya, anda adalah segolongan penunggang yang melakukan perkara sama. Kesimpulannya; sama-samalah menghormati pengguna jalanraya yang lain. Jangan suka-suka tuding jari.

* Petang semalam, di simpang empat. Menunggu sehingga lampu merah bertukar hijau dan seorang penunggang motosikal melanggar cermin sisi. Tak sempat mengecam nombor plat, dia pecut dan melanggar lampu merah. Hmm. Jalanraya yang luas, waktu senja. Seorang penunggang melanggar cermin sisi tanpa rasa bersalah. Ia berkaitan dengan sikap. Cik abang oi, tolonglah hati-hati. Kalau bercalar, aku maafkan. Andai cermin sisi pecah, siapa mahu ganti? Penunggu senja?

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku