Demam dan Iman

Demam, batuk, selsema dan macam-macam lagi jenis penyakit lazimnya membataskan aktiviti manusia. Eh, aku bukan mahu berbicara tentang penyakit, serahkan itu kepada yang pakar. Entri ini tidak ada kena mengena dengan preskripsi ya! Hahaha.



Apa kata, kita cuba bersikap jujur untuk seketika. Setiap kali diberikan sakit, kita tak sudah-sudah mengeluh.

"Aduh, kenapa pula demam ni?"
"Pening, pening kepala macam nak pecah dah!"
"Hish, tak habis-habis dengan batuk. Menyusahkan betul!"

Pernah bukan? Tak payah jawab di sini. Cukuplah sekadar mengaku dalam hati. Allah Maha Tahu. Bukan sahaja kalian, aku pun pernah bersoalkan itu dan ini serta semuanya serba salah. Itu sifat manusia. Tidak tahu bersyukur dan sentiasa lupa. Jadi, sudah menjadi amanah dan tanggungjawab masing-masing untuk memberi peringatan. Bukan amaran. Ingat, jangan sesekali memesongkan pemahaman orang lain. Islam itu lembut, mudah dan selamat. Bukannya keras dan ganas. Betulkan itu dahulu.

Jujurnya, aku sedang dilanda demam. Pakej yang sangat lengkap; batuk, selsema, demam dan pening kepala. Maklumlah, keadaan cuaca yang tidak menentu membuatkan keadaan kesihatan masing-masing terganggu. Anak-anak buah aku yang sangat kuat itu pun (Miqhail, Mierza) sedang demam. Pernah terfikir, bagaimana kita boleh demam dan mengapa?

Kalau bercakap dari sudut sains, sudah pasti jawapannya tidak akan selari dengan kejadian demam itu dari sudut yang lebih hakiki. Tahukah kalian, segala penyakit adalah penghapus dosa manusia di muka bumi ini? Percaya atau tidak? Hmm. Terpulang. Kalau dalam lenggok bahasa Indonesia; Terserah.

Ketika aku di sekolah rendah, ustazah pernah memberitahu yang penyakit yang dialami sebenarnya adalah penghapusan ke atas dosa-dosa manusia sendiri. Sebagai contoh, demam dikatakan sebagai serpihan api neraka. Hah, jangan nak gelak. Kalau tidak percaya, janganlah gelak. Sekurang-kurangnya, belajarlah untuk menghormati. Bukankah itu, tanda orang yang beriman dan berbudi pekerti. 

Aku mengambil petikan dari sebuah laman blog yang turut menceritakan tentang hal yang sama; Cahaya Purnama (Doa Demam Panas)

"Malik bin Isma’il menceritakan kepada kami, (ia berkata) Zuhair menceritakan kepada kami, (ia berkata) Hisyam menceritakan kepada kami (yang diterima) daripada Urwah (yang berasal) dari ‘Aisyah r.a. (yang diterima) dari Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demam panas adalah dari serpihan api neraka Jahannam, maka dinginkanlah dengan air.” (sahih al-Bukhari, no. 3023) 

Sekadar hiasan : Dari Blog Hawks Eye


Masa kecil dahulu, setiap kali demam, perkara pertama yang ibu, mak, umi, mama (dan macam-macam panggilan lain) lakukan adalah, membasahkan kain dan meletakkannya di atas kepala untuk mengurangkan suhu badan dan masa yang sama, menyejukkan. Indah bukan, semuanya sudah diatur cantik. Cuma perlu mencari dan mengkaji. Jika penyakit seperti demam, ada penawar dan merawatnya, insya-allah, penyakit-penyakit lain juga tentu ada diberikan pentunjuk cara merawatnya. Yang penting, kaji dan terus kaji.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya”. (HR. Bukhari no. 5678)

Masih lagi memetik dari blog yang sama; 
“Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka”. (HR. Al-Bazzar, dishohihkan Syeikh Albani dalam kitab Silsilah al Hadiits ash Shohihah no. 1821).

“Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi”. (HR. Muslim no. 2575).

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”. (HR. Bukhari no. 5660 dan Muslim no. 2571).

“Tidaklah seseorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanan hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya”.
(HR. Bukhari no. 5641).

“Tidaklah menimpa seorang mukmin rasa sakit yang terus menerus, kepayahan, penyakit, dan juga kesedihan, bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengan dosa-dosanya”. (HR. Muslim no. 2573).

“Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu derajat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya”. (HR. Muslim no. 2572).

Mari renungkan bersama, pernahkah kita mencuba untuk menghapuskan dosa-dosa dilakukan dalam keadaan tidak sedar. Tahukah atau sedarkah kita tentang setiap dosa yang dilakukan? Begitulah Maha Adil Allah. Diberikan penghapusan dosa dalam bentuk penyakit supaya terhapus dosa-dosa yang pernah kita lakukan tanpa sedar. Manusia selalu lupa dan sentiasa melakukan dosa (tanpa sedar) dan Allah membantu manusia menghapuskannya dengan memberikan kita penyakit. 

Maka, janganlah sesekali kita merungut jika kita diberikan penyakit. Bersyukurlah. Walaupun ianya menyakitkan, ujian itu sentiasa didatangkan dengan kemanisan. Insya-allah. 

* sedang demam, terbaca beberapa status yang kurang menyenangkan dan agak kurang manis. Adik-adik, sedarlah...kita ini bertuhan. Allah itu maha mengetahui. Kalau mengadu di blog, twitter atau FB sekalipun, tak ada maknanya.

Popular Posts

Karyaku

Karyaku
Peristiwa Malam (Cerpen)

Kasih Di Hujung Nafas (Cerpen)

Fajar Pakeer

Fajar Pakeer
Rindu Pada Matahari (Novel)

Hatimu Hatiku Jadi Satu (Mini Novella)

Ada Yang Lain (Dwilogi)

RTM

RTM
Yang Terindah

Arah Lain Ke Syurga

Magic Bean

Magic Bean
Sayang Kita Sampai Bila Bila

Kau Simfoni Hatiku